PETALING JAYA – Harga buah pinggang boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit di pasaran gelap kerana permintaan yang tinggi daripada pesakit yang terdesak untuk pulih.
Pengurus Klinikal Pendermaan Organ Kebangsaan Kanan, Pusat Sumber Transplan Nasional, Dr. Hasdy Haron, setakat Jun lalu, seramai 9,254 pesakit berada pada barisan menunggu untuk pemindahan organ seperti buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru selepas kematian penderma.
“Bagaimanapun, penderma berdaftar hanya 46 orang. Sebab itu harganya boleh melambung di pasaran gelap kerana ramai yang terdesak.
“Proses pemindahan organ bukanlah semudah yang disangka kerana ia perlu melalui beberapa tapisan dan diuruskan oleh pihak yang dilantik sahaja.
“Pesakit perlu mendapatkan penderma yang sesuai sebelum dirujuk kepada pakar untuk dibawa kepada pihak yang menguruskannya menerusi Kementerian Kesihatan,” katanya.
Menurut Hasdy, pelbagai perkara diambil kira seperti perubatan, psikologi dan unsur mencurigakan bagi mengelakkan jual beli secara komersial antara pesakit dan penderma sebelum pemindahan dilakukan.
Tambahnya, jual beli organ tidak dapat dinafikan kerana pesakit dan penderma boleh menipu selain mereka boleh melakukannya di luar negara untuk mengelak dikenakan hukuman.
“Penjualan organ secara terang-terangan melalui media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pemindahan Organ Manusia 1974 dan Akta Pendermaan Organ dan Penggunaan Tisu 1992,” katanya.
Ujar Hasdy, syarat ketat untuk pendermaan organ adalah bertujuan untuk melindungi penderma daripada menjadi mangsa eksploitasi kerana penerima yang terdesak boleh melakukan apa sahaja.
“Pemberian habuan adalah dilarang kecuali bantuan berkaitan dengan proses pendermaan adalah dibenarkan dan bentuk bantuan ini perlu munasabah dan tidak keterlaluan,” katanya.
Tambahnya, anggota badan adalah harta yang paling bernilai dan tidak boleh diukur melalui wang ringgit.
















