SETIAP insan pasti menyimpan angan-angan untuk menghabiskan masa persaraan di rumah idaman mereka.
Rumah yang direka bukan sahaja untuk keselesaan, malah menyimpan elemen-elemen nostalgia buat tatapan dari semasa ke semasa.
Bagi pesara, Roza Ahmad, impiannya memiliki rumah ladang (farm house) setingkat di Bachok, Kelantan berjaya direalisasi pada 2020.
Wanita berusia 55 tahun itu terlibat sepenuhnya daripada peringkat pelan rekaan rumah sehingga sentuhan dekorasi terakhir.
Menurutnya yang kini merupakan seorang ibu tunggal, rumah ladang ala Inggeris mencipta gaya hidup tidak formal dan santai.
“Saya sangat suka dengan reka bentuk rumah ladang orang Inggeris yang mengutamakan cahaya semula jadi.
“Saya reka tingkap besar pada hampir keseluruhan ruang agar sesuai dengan konsep ranch,” katanya kepada K2.
Menyentuh tentang hiasan dalaman rumah berukuran 1,800 kaki persegi (167.2 meter persegi) itu, Roza akui cita rasanya lebih ke arah gaya ladang klasik.
Palet rumahnya diserikan dengan warna putih, krim, kelabu dan rona tanah untuk mewujudkan unsur ketenangan yang bercirikan desa.
Namun, warna-warna ‘meriah’ diselitkan melalui tekstil dan aksesori seperti bantal, permaidani dan pokok hiasan.
Jelasnya, dia turut mengamalkan konsep hiasan buatan sendiri (DIY) yang sinonim dengan tatahias rumah ladang.
“Terdapat beberapa elemen buatan sendiri seperti tempat pendiang api, meja sofa, meja kecil serta hiasan meja dan dinding.
“Saya paling gembira apabila tetamu jadikan tempat ruangan pendiang api itu sebagai tempat ootd (bergambar) mereka,” katanya.
Menyentuh berkenaan nilai nostalgia yang dikekalkan dalam rumah persaraannya, Roza mendedahkan kebanyakan perabotnya sudah hampir berusia 30 tahun.
Wanita yang sebelum ini tinggal di kawasan Batu Caves, Gombak, Selangor itu mahu mengekalkan kenangannya bersama arwah suaminya.
Bahkan, dia juga masih menyimpan kabinet yang diwarisi daripada arwah neneknya.
Dianugerahkan dengan minda yang kreatif, Roza sering bertukar warna tema dengan menukar fabrik dan cat pada perabot-perabot lamanya.
Ujarnya, cara tersebut dapat menjadikan hiasan dalaman rumahnya terus segar biarpun masih lagi mengekalkan barang-barang berunsurkan sentimental.

“Saya cat sendiri perabot-perabot di rumah saya. Sudah tiga kali perabot saya dicat dengan warna lain.
“Untuk sarung kerusi pula, sudah tujuh kali saya tukar dan jahit sendiri mengikut warna tema yang saya mahu ketika itu,” ujarnya.
Oleh kerana kebanyakan barangan di kediamannya itu ‘dikitar semula’ dan proses DIY, Roza berkata, kos keseluruhan dekorasi tidaklah begitu mahal.
Kebanyakan perabotnya dibeli di Country Living, Lang Furniture, Ikea dan SSF Home.
Inspirasi hiasannya pula diambil dari Pinterest tanpa menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman.
Ujarnya, masih ada lagi bahagian rumah yang masih belum selesai dan akan diubah lagi pada masa akan datang.
“Saya ada tujuh ekor kucing sebelum ini dan ia menyebabkan dekorasi agak terhad dan tidak dapat diilhamkan sepenuhnya.
“Kalau diikutkan, saya masih lagi ada idea-idea dekorasi yang belum direalisasikan,” katanya.














