SELAIN memburu pelbagai spesies ikan, sotong juga antara hidupan laut yang kerap menjadi buruan para kaki pancing yang ingin merasai kelainan.
Bagi mereka yang sudah biasa dalam aktiviti mencandat, sotong mabang mungkin menjadi pilihan untuk diburu berbanding spesies sotong yang lain.
Ini kerana sotong mabang atau turut dikenali dengan panggilan ‘sotong ngabang’ di sesetengah tempat, mempunyai keunikan yang tersendiri terutama dari segi daya tarikannya ketika membaham umpan.
Sotong mabang agak berbeza dengan sotong biasa yang memanjang, sedangkan mabang besar dan melebar.
Seorang kaki pancing, Amirul Hafiz Mohd. Paiman, 42, merupakan antara pemburu sotong mabang tegar yang kerap berkunjung ke perairan di Pantai Timur untuk mencari sotong berkenaan.
Dia yang berasal dari Batu Pahat, Johor berkata, selain faktor daya lawan yang kuat berbanding sotong lain, sotong mabang juga mempunyai rasa yang unik selepas dijadikan hidangan.
“Kebiasaannya, apabila tiba musim sotong mabang antara bulan April hingga Oktober, saya akan mengatur ‘trip’ untuk memburunya bersama rakan-rakan. Antara port pilihan yang kerap saya kunjungi ialah di kawasan perairan Pekan dan Rompin di Pahang.
“Ini kerana, perairan berkenaan yang memiliki kawasan berbatu selain batu karang kerap menjadi ‘spot’ atau kawasan permainan sotong mabang,” katanya.
Terangnya, kaedah memburu sotong mabang adalah hampir sama dengan kaedah memburu sotong-sotong yang lain iaitu menggunakan teknik candat.
Bagaimanapun, jelasnya, terdapat sedikit perbezaan dari segi jenis umpan tiruan, selain kaedah candat yang digunakan.
“Bagi mencandat sotong biasa terutama sotong jarum, lazimnya pemancing boleh menggunakan candat biasa sama ada umpan tiruan ataupun menggunakan ikan segar yang dicucuk pada mata candat.
“Namun, bagi memburu sotong mabang, pemancing perlu menggunakan mata candat khusus yang memiliki warna menarik yang turut digelar sebagai ‘egi’.
“Selain itu, pemancing juga perlu menggunakan kedah ‘fast jigging’ seperti mana ketika memburu ikan di kawasan dasar laut.
“Cuma, apa yang berbeza ialah ‘egi’ pemancing perlu berhenti seketika selepas melakukan ‘fast jigging’ kerana ketika itulah sotong mabang akan membaham ‘egi’ atau mata candat,” ujarnya.

Bercakap mengenai set pancing yang digunakan pula, Amirul menjelaskan, dia biasanya akan menggunakan set untuk aksi ringan dan sederhana dengan penggunaan tali antara 8 paun hingga 16 paun sahaja.
Pemilihan set ringan itu katanya adalah bagi membolehkan pemancing merasai kekuatan daya lawan sotong mabang ketika membaham umpan tiruan agar aktiviti memancing menjadi lebih seronok.
Mengulas lanjut, Amirul memberitahu, walaupun aktiviti mencandat sotong kerap dilakukan pada waktu malam dengan pencahayaan yang terang, namun ia sedikit
berbeza ketika mencandat sotong mabang.
Ini kerana katanya, berdasarkan pengalamannya, sotong mabang lebih aktif memburu umpan pada waktu siang khususnya di waktu pagi dan petang.
Malah, saiz sotong berkenaan juga akan semakin besar di kawasan perairan yang lebih dalam, berbanding di kawasan pantai.
“Untuk buru sotong mabang, saya lebih gemar menaiki bot kerana selain boleh ubah lokasi memancing dengan mudah, saya juga boleh mencandat di kawasan lebih dalam untuk dapatkan saiz sotong yang lebih besar.
“Setakat ini, sotong mabang paling besar yang pernah saya dapat ialah hampir satu kilogram seekor ketika mencandat di perairan Rompin beberapa tahun lalu.
“Pada trip kali ini, kami berjaya memperoleh lebih 100 ekor sotong mabang dengan kebanyakannya adalah bersaiz antara 300 gram (g) hingga 700g seekor,” ujarnya.
Kata Amirul, disebabkan sukar untuk mendapatkan sotong mabang di pasar biasa selain harganya agak tinggi berbanding sotong lain, maka kesemua hasil candat yang diperoleh telah dibahagikan sama rata untuk semua pemancing.














