BERGELAR mahasiswi tidak menghalang Lisa Abd. Latif, 22, untuk mula mencipta nama sebagai peragawati dan pencipta kandungan.
Gadis berusia 22 tahun berasal dari Kota Marudu, Sabah itu bijak membahagikan masa agar pelajaran tidak terganggu walaupun gigih mencari tapak untuk memasuki dunia glamor.
Menariknya, Lisa yang bercita-cita mahu menjadi pramugari makin dikenali setelah bergelar naib juara Ratu Serimpak Sabah 2024 pada Februari lalu. Bersama Kosmo! Ahad, Lisa berkongsi serba sedikit mengenai kehidupannya.
Boleh kongsikan latar belakang Lisa?
Saya dilahirkan pada 7 Mac 2002 di Kota Marudu, Sabah dan berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Sekarang sedang melanjutkan pelajaran dalam tahun kedua ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL), Universiti Antarabangsa Unitar, Petaling Jaya, Selangor.
Bagaimana membahagikan masa untuk belajar dan bekerja sambilan sebagai model dan pencipta kandungan?
Pengurusan masa sangat penting bagi saya lebih-lebih lagi sebelum ini pernah bekerja sambilan sebagai guru ganti.
Saya mengambil pendekatan untuk menyiapkan tugasan universiti terlebih dulu sebelum mengambil peluang kerja sebagai model dan mengemas kini akaun media sosial.
Bukan mudah bekerja sambil belajar memandangkan masih lagi bertatih dan belum mampu menggajikan pembantu mahupun pengurus.

Bagaimana memulakan setiap hari sebagai pelajar dan pencipta kandungan?
Saya mempunyai buku nota bukan sahaja untuk menulis rujukan pelajaran, malah menyusun jadual harian, mingguan dan bulanan.
Buat masa ini jadual agak padat hampir setiap hari. Selesai menghadiri kuliah pada sebelah pagi, saya akan menyiapkan Âvideo kandungan untuk klien pada sebelah petang.
Malamnya saya menyelesaikan tugas kuliah.
Pada hujung minggu, saya akan beri tumpuan sepenuhnya kepada kerja-kerja sambilan sebagai model.
Apa hobi di masa laÂpang?
Saya suka membaca dan meÂnulis. Saya juga gemar pergi bercuti, malah pernah mengambil peperiksaan di lapangan terbang sebab mengejar penerbangan. Mujur peperiksaan dibuat secara online.
Walaupun hampir menangis, saya tetap dapat Anugerah Dekan.
Pengalaman yang tidak boleh lupakan?
Sewaktu menjadi guru ganti di sebuah sekolah, saya pernah cemas dengan sikap agresif seorang murid yang menangis dan mula memukul saya kerana ketakutan ditinggalkan ibu bapa di dalam kelas pada minggu pertama persekolahan. Tangisan dia itu kemudian menyebabkan sebahagian murid lain turut menangis.
Saya terpaksa memujuk mereka untuk mententeramkam kelas. Agak mencuit hati juga teringatkan kejadian itu.
Pendapat tentang geÂnerasi muda yang meminati kerjaya sebagai pempengaruh sehingga mengabaikan pelajaran?
Demi masa depan kita, pelajaran tidak boleh diabaikan.
Apa yang penting kita perlu bijak membahagikan masa dan jika mahu menjadi pempengaruh, jadilah pempengaruh terpelajar yang memberi impak positif kepada masyarakat, bukan menghasilkan kandungan tidak berfaedah.
















