fbpx
Ada yang melaporkan, doktor, majikan atau orang tersayang gagal memahami masalah yang dideritai. – Gambar hiasan

Sentiasa penat petanda Sindrom Kelesuan Kronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH rasa letih meskipun cukup tidur ataupun sentiasa berasa kepenatan?

Situasi tersebut mungkin sering dirasai dalam pemikiran sebilangan daripada kita dalam kehidupan.

Sebenarnya, pemikiran begini sentiasa menjadi peneman setia orang yang menghidap Sindrom Kelesuan Kronik (CFS). Ia satu keadaan yang mencabar usaha diagnostik konvensional dengan tiada ujian atau gejala tertentu untuk mengenal pasti secara muktamad.

Akibatnya, CFS masih diselubungi misteri dan mereka yang terjejas sering dibiarkan memikirkannya sendiri.

Bagi membantu meningkatkan kesedaran tentang keadaan ini, Hari Kesedaran Antarabangsa Sindrom Ensefalomielitis Mialgik ataupun Kelesuan Kronik disambut setiap tahun untuk memberi penekanan kepada kesannya terhadap kehidupan seharian dan memperkasa individu untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Jabatan dan Ahli Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Serena In berkata, data mengenai CFS di Malaysia sangat sedikit, bukan kerana ia tidak wujud di sini tetapi kerana kesedaran yang rendah dalam kalangan masyarakat umum.

“Disebabkan itu, tidak ramai orang yang tahu bagaimana untuk mendapatkan rawatan.

“Ini menyebabkan ia kurang dilaporkan dan kurang difahami,” katanya.

Jika anda atau seseorang yang dikenali menderita kelesuan berpanjangan yang tidak dapat dijelaskan dan tidak bertambah baik dengan berehat anda perlu mengetahui tanda-tanda CFS.

Secara perubatan, ia dikenali sebagai Ensefalomielitis Mialgik (ME) dan pakar bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti apakah punca CFS.

Ia kadangkala boleh berlaku selepas jangkitan virus seperti Covid-19, walaupun tidak dikaitkan dengan sebarang jangkitan tertentu.

Faktor-faktor lain yang berkaitan walaupun tidak semestinya bersifat penyebab adalah termasuk penyakit keradangan seperti arthritis, keadaan psikologi seperti kemurungan dan perubahan hormon seperti menopaus.

Dr. Serena menjelaskan, gejala boleh datang dan pergi dan sangat berbeza kepada setiap individu.

Terangnya, kebanyakan pesakit melaporkan gejala-gejala seperti kelesuan yang tidak hilang selepas berehat atau tidur.

MASIH lesu selepas tidur merupakan antara simptom Kelesuan Kronik. – GAMBAR HIASAN

“Mereka juga berdepan kesukaran untuk memberi tumpuan, kelemahan otot dan sensitif melampau kepada bau-bauan, bahan kimia, cahaya atau bunyi-bunyian.

“Selain itu, gejala lain termasuk masalah penghadaman seperti sindrom usus merengsa, kesakitan sendi dan otot tanpa melakukan senaman, bengkak atau kemerahan,” jelasnya.

Dalam pada itu, CFS hanya boleh didiagnosis berdasarkan gabungan gelaja-gejala yang dihadapi, bersekali beberapa siri ujian untuk menolak kemungkinan punca-punca yang lain.

Bagaimanapun, sebelum tergesa-gesa menjadikan CFS sebagai jawapannya, Dr. Serena menyarankan agar seseorang fahami tubuh badan sendiri terlebih dahulu.

“Atasi keperluan asas terlebih dahulu dan dapatkan rehat yang cukup dan makan makanan seimbang.

“Jika asasnya betul, anda sepatutnya akan berasa lebih baik dalam beberapa minggu.

“Tetapi, jika anda masih tidak berasa lega selepas mencubanya, anda mungkin memerlukan nasihat perubatan,” ujarnya.

Sementara itu, doktor juga boleh membantu mengenal pasti dan menolak kemungkinan adanya masalah kesihatan lain seperti keadaan autoimun misalnya penyakit lupus, keletihan, kemurungan atau isu-isu kesihatan lain.

Ia mungkin melibatkan ujian darah, penulisan jurnal untuk mengesan gejala dan pemantauan selama berminggu-minggu, bahkan mungkin berbulan-bulan.

Jika berkaitan, doktor anda boleh merujuk anda kepada seorang atau lebih pakar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Dr. Serena berkata, CFS berbeza untuk setiap orang. Ia adalah keadaan dengan aspek yang pelbagai.

“Biarpun keparahannya berbeza-beza bagi setiap orang, namun sentiasa berasa letih lesu, sakit atau tidak sihat setiap hari boleh melemahkan diri.

“Ada juga yang melaporkan bahawa doktor, majikan atau orang tersayang gagal memahami mereka dengan baik apabila diterangkan mengenai gejala yang dihadapi,” katanya.

Tambahnya, ini boleh menjadi sukar terutama bagi mereka yang biasa aktif dan bersosial yang kini terpaksa mengurangkan tanggungjawab tertentu, aktiviti fizikal, perhimpunan sosial dan banyak lagi.

Tiada rawatan atau penawar khusus bagi CFS. Namun, pengurusan kesakitan boleh memainkan peranan penting untuk melegakan gejala, di samping menyesuaikan gaya hidup.

Dr. Serena menyarankan pesakit berjumpa ahli psikologi klinikal atau kaunselor untuk mendapatkan sokongan dalam memproses perubahan besar dalam hidup mereka.

“Untuk sesetengah orang, proses menyesuaikan diri untuk hidup dengan CFS boleh memilukan kerana ia bermakna anda mungkin kehilangan versi diri anda yang lebih sihat.

“Ahli terapi anda juga boleh membantu menangani ketakutan anda pada masa hadapan kerana ramai juga pesakit yang mungkin berasa putus asa.

“Adalah tidak mustahil untuk berusaha ke arah menerima keadaan diri dan tetap menjalani kehidupan yang bermakna dan memuaskan hati selepas mempelajari bagaimana untuk menguruskan gejala-gejala tersebut dengan berkesan setiap hari,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN