PETALING JAYA – Rata-rata penyokong Kelab Bola Sepak Selangor FC (SFC) menggesa orang ramai supaya membeli cenderahati dan jersi keluaran kelab terbabit bagi membantu menyumbang dana untuk membayar denda.
Idea berkenaan dicetuskan @alifhaiqal02 menerusi laman X yang memberi cadangan agar orang ramai tidak hanya menyumbang melalui kutipan derma sebaliknya dengan membeli cenderahati daripada SFC.
“Bila kali terakhir kita beli jersi original kali terakhir beli merchandise original? Tahukah kita, satu helai jersi fan issue di laman sesawang selangorfc.com/en/shop hanya berharga RM79 sehelai.
“Dengan anggaran dan sangkaan SFC dapat 25 peratus dari pada jualan. Sekurang-kurangnya 5,064 helai perlu dibeli oleh penyokong SFC, dengan purata 10,000 orang hadir stadium. Angka itu munasabah dan boleh dapat lebih,” jelasnya.
Pengguna lain, @magmalaya berkata, dengan terjualnya 2,500 helai baju jersi SFC yang berharga RM149 sehelai, jualan boleh mencecah RM372,000.
“Kalau duit tiket untuk masuk stadium, tak semestinya duit akan masuk terus ke kantung SFC, dia mesti ada agihan ke tempat lain, tapi untuk produk SFC, dana terus masuk ke kantung kelab, lebih direct dan besar margin,” ujarnya.
Berdasarkan semakan, sehelai baju jersi dewasa SFC mengikut jenis koleksi, dijual bermula dengan harga RM79 hingga RM249 dan jersi kanak-kanak berharga RM35 hingga RM69.
Seruan membeli sambil menderma itu disambut baik apabila, rata-rata peminat mula membuat pesanan dan mengingatkan orang ramai supaya tidak termembeli jersi palsu.
“Lepas aku baca tweet ini, terus aku tekan link untuk beli jersi original Selangor sebagai tanda sokongan, walaupun langsung tak layan bola sepak Malaysia.
“Anda semua boleh lakukan perkara yang sama sekiranya berkemampuan,” ujar @syedamiruledros.
“Selepas keluar wad hari ni (semalam) nak terus pergi berbelanja dekat Selangor FC, beli jersi bapa dulu, jersi anak nanti kita beli,” seloroh @zulhelmi_27














