Berbual dengan seorang pengurus yang berusia 74 tahun yang masih sihat dan kuat mengoperasikan sebuah hotel di lokasi strategik di Terengganu membuatkan penulis rasa kagum dengan semangat dan motivasi warga emas itu.
Beliau yang memiliki pengalaman lebih 40 tahun dalam bidang hospitaliti mengendalikan pelbagai resort terkemuka di dalam dan luar negara tidak betah duduk di rumah dalam fasa persaraannya kerana tidak mahu ‘sakit’, dia lebih rela keluar masuk pejabat, berjalan sekeliling resort tersebut dan lebih digemarinya adalah berbual dengan pengunjung.
“Jika saya berehat lama di rumah, saya akan berasa jemu, tiada kawan untuk diajak berbual, tidur lebih masa dan lama kelamaan saya mula menjadi malas, tidak mahu berjumpa dengan orang lain dan rasa rendah diri akhirnya akan mula berasa murung.
“Apabila murung, saya mudah sakit dan bila sakit, kita akan susahkan anak-anak dan menantu serta orang lain,” jelas pengurus tersebut.
Selain itu, rezeki berjumpa seorang cef yang berusia 60 tahun begitu ceria dan rajin melayan pelanggan di restoran sebuah resort lain telah membuatkan sesi makan malam penulis bersama keluarga agak terhibur dengan layanan mesra daripada anak tempatan Dungun itu.
Wanita ini juga tidak menunjukkan kebosanannya bekerja selama hampir 30 tahun tanpa memikirkan fasa bersaranya kerana jika diikutkan, dia mahu terus bekerja kerana tiada siapa lagi di rumah kerana hanya ditemani oleh kucing.
Ini adalah antara kisah unik sebahagian pekerja warga emas yang mahu terus bekerja bukan kerana gaji bulanan semata-mata tetapi mereka mahu menikmati hari tua masing-masing dengan terus berbakti kepada majikan, syarikat dan juga melayan pengunjung selain dalam masa yang sama untuk meningkatkan tahap kesihatan diri masing-masing.
Mereka yang kini bebas hutang tidak menjadikan nilai gaji sebagai sandaran mereka bekerja tetapi kerana permintaan daripada majikan sendiri yang menghargai jasa mereka dan tidak mahu melepaskan mereka kerana jasa dan bakti yang dicurahkan kepada syarikat selama ini.
Pengalaman yang tidak boleh dijual beli itu digunakan sebaiknya untuk membantu kumpulan pekerja baharu yang bakal mengambil alih jawatan yang bakal ditinggalkan juga satu hari nanti.
Mungkin persekitaran nyaman, udara segar di kawasan pelancongan di luar daerah membuatkan mereka sihat sepanjang masa kerana tiada masalah kesesakan jalan raya, tekanan kos hidup meningkat dan juga tekanan menjadi orang kota yang sentiasa sibuk sepanjang 24 jam setiap hari.
Jangan biarkan diri terus berkurung di dalam rumah dengan alasan mahu berehat sahaja selepas bekerja lebih 40 tahun tanpa melaksanakan aktiviti berfaedah kerana banyak lagi perkara bersesuaian dengan umur pesara mengikut tahap kesihatan dan mood diri masing-masing.
Mereka perlu berfikiran positif terhadap perubahan diri yang kini tergolong dalam kumpulan warga emas kerana banyak keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan.
Lebih menarik, melihat kepada peta Malaysia yang begitu luas dan sentiasa tersedia untuk dteroka oleh pelancong tempatan versi orang pencen, nikmatilah pemandangan bersama orang tersayang kerana dengan menyaksikan ciptaan Allah di luar membuatkan hati kita sentiasa tenang dengan seribu keinsafan, malah mahu terus berdoa agar dipanjang umur untuk 10 hingga 20 tahun lagi.














