GEORGE TOWN – Penjual raja buah di negeri ini mendakwa pelanggannya lebih gemar membeli durian kampung yang dijual pada harga RM8 sekilogram sejak 6 Jun lalu.
Kenny Soong berkata, kedai nya didatangi lebih 1,000 pelanggan dalam tempoh tersebut untuk menikmati buah durian pada awal musim.
“Pesta durian telah bermula sejak awal Jun lalu dan dijangka berlarutan hingga Ogos. “Tahun ini permintaan terhadap durian kampung meningkat berbanding jenis premium tetapi bekalan pula tidak banyak,” katanya.
Menurut Soong, pada waktu sama tahun lalu, durian kampung sudah turun kepada RM6 sekilogram.
Tambahnya, berlaku lonjakan permintaan terutama daripada penduduk di daerah barat daya dan timur laut.
“Kedai saya di Sungai Ara, Bayan Lepas sentiasa dikunjungi pelanggan tidak kira waktu. Seramai 50 hingga 60 pelanggan akan datang ke kedai setiap hari dan meningkat kepada 150 pada hujung minggu,” katanya.
Ujar Soong, dia menyediakan sehingga 15 raga buah durian pelbagai jenis dengan berat 50 kilogram setiap satu dan kesemua nya habis setiap hari.














