IPOH – Dakwa limau bali Tambun, rupa-rupanya dari kawasan lain yang tawar dan masam.
Segelintir peniaga limau, di sini didakwa menggunakan populariti limau bali Tambun yang manis dan enak, walhal menjual limau bali dari tempat lain yang rasanya ‘biasa-biasa’ sahaja.
Kata seorang pengguna, Nur Maisara Ghazali, 41, dia yang berasal dari Cheras, Selangor sering menikmati buah tersebut ketika membesar di Ipoh.
Jelasnya, dia tidak akan melupakan rasanya yang enak dan unik tersebut, dan dia boleh mengenal pasti sekiranya seorang peniaga menjual buah limau bali Tambun asli atau sebaliknya.
“Saya pernah membeli limau bali dari sebuah pasar di Klang, yang mana peniaga buah tersebut mendakwa ia dibekalkan terus dari ladang di Tambun.
“Bagaimanapun, apabila saya makan, rasanya tidak serupa. Buah itu pula dijual mengikut kilogram (kg), bukannya saiz buah seperti biasa. Tak dapat dibayangkan sudah berapa ramai pengguna yang tertipu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, seorang pembekal limau bali Tambun, Suhazman Jassuhaimie, 31, berkata, dia sendiri pernah memeriksa limau bali yang dijual di sekitar Lembah Klang seperti di Ampang, Cheras dan Kajang.
Menurutnya, dia mendapati limau bali yang dijual di kawasan-kawasan tersebut ada yang berasal dari kawasan seperti Taiping, Kuala Kangsar dan Johor.
“Limau bali Tambun memang mendapat permintaan tinggi terutamanya dari pengguna di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor. Bagaimanapun, situasi itu diambil kesempatan oleh sebilangan peniaga yang mendakwa buah dijual mereka berasal dari Tambun.
“Keadaan sama juga berlaku di segelintir kawasan rehat dan rawat (R&R) di Lebuh Raya Utara-Selatan. Saya dapati ada gerai yang menjual limau bali mendakwa ia berasal dari Tambun, namun ia tidak benar.
“Bahkan, ia dijual pada harga agak mahal iaitu sekitar RM22 perkg. Bagi yang mengenali limau bali Tambun, mereka mampu menilainya, namun tidak semua tahu untuk membezakannya,” dakwanya.














