fbpx
Norshahreen (kiri) menunjukkan ikan jenahak yang berjaya dipancing di Batu Laut, Selangor baru-baru ini.

K2

Guna teknik ‘jigging’ tewaskan ‘bantal emas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAWASAN Batu Laut yang terletak di Pantai Morib, daerah Kuala Langat, Selangor mungkin kelihatan sama seperti mana kawasan pesisir pantai lain yang terletak di negara ini.

Selain mempunyai kawasan jeti yang menempatkan ratusan bot nelayan, ia juga dipenuhi dengan pokok kayu bakau yang memenuhi sebahagian besar kawasan pesisir pantainya.

Namun, siapa sangka, kawasan perairan Selat Melaka yang menjadi antara laluan utama kapal dagang itu merupakan antara ‘syurga’ bagi kaki pancing yang gemar menggunakan teknik ‘jigging’.

Atas faktor itulah, ramai kaki pancing khususnya yang tinggal di sekitar Lembah Klang gemar menjadikan kawasan Batu Laut sebagai medan untuk menguji kemahiran ‘jigging’ mereka untuk memburu pelbagai spesies ikan.

Antara kaki pancing yang tidak melepaskan peluang berkunjung ke Batu Laut adalah Norshahreen Mnorizan, 41.

Dia yang bekerja dalam sektor industri dan kini tinggal di Shah Alam berkata, faktor lokasi Pantai Morib yang terletak hanya kira-kira 1 jam perjalanan dari Lembah Klang membuatkan ‘port’ berkenaan menjadi pilihan dirinya dan rakan-rakan untuk melepaskan gian memancing.

“Untuk trip yang terbaharu ini, saya pergi ke Batu Laut bersama empat lagi rakan dan matlamat kami hanya satu, iaitu mengasah teknik ‘jigging’ masing-masing.

“Ikan pilihan yang menjadi buruan pula ialah spesies jenahak yang turut digelar ‘bantal emas’ dalam kalangan kaki pancing,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai trip yang disertainya itu, Norshahreen yang lebih mesra disapa Yen berkata, mereka menyewa sebuah bot dengan kadar sewaan RM1,100 untuk tempoh 12 jam memancing.

Kebiasaannya kata Norshahreen, para pemancing akan menaiki bot seawal pukul 7 pagi dan hanya akan tiba semula ke jeti kira-kira pukul 7 petang.

Katanya lagi, disebabkan saiz ikan yang terdapat di kawasan Batu Laut agar ‘kasar’, maka kesemua mereka menggunakan rod dengan kekuatan PE2 hingga PE4 dengan penggunaan tali utama bersaiz 25 hingga 40 paun.

Bagi perambut pula katanya, mereka menggunakan tali dari jenis ‘fluorocarbon’ bersaiz antara 30 hingga 50 paun dan dipadankan dengan jig dari saiz 80 gram (g) hingga 300g.

“Kebiasaannya, kami akan menggunakan dua teknik ‘jigging’ iaitu ‘slow pitch jigging’ dan ‘fast pitch jigging.

“Kedua-dua teknik ‘jigging’ ini mempunyai kelebihan yang tersendiri dan ia mampu menarik minat ikan khususnya dari spesies pemangsa yang tinggal di kedalaman air sekitar 40 meter hingga 50 meter untuk membaham umpan.

“Alhamdulillah, pada trip baru-baru ini, kami telah berjaya menaikkan 15 ekor ikan spesies jenahak pelbagai saiz, selain ikan kerapu dan beberapa spesies lain.

“Kebanyakan ikan jenahak yang berjaya dinaikkan pula mempunyai saiz yang agak besar iaitu antara 3 kilogram (kg) hingga 5 kg setiap seekor,” ujarnya.

Kata Yen lagi, dia dan rakan-rakannya juga berpuas hati dengan perkhidmatan tekong bot yang kerap menukar lokasi memancing dari satu lubuk ke lubuk lain bagi membolehkan peluang untuk mendapatkan ikan lebih tinggi.

Tambahnya, walaupun berjaya memperoleh hasil tangkapan yang agak lumayan, namun mereka mengambil kata sepakat untuk tidak menjualnya kepada peraih.

Sebaliknya, kesemua ikan yang berjaya dipancing itu dibahagikan sama rata kepada para pemancing untuk dibawa pulang.

Menurut Yen lagi, walaupun memancing di kawasan Batu Laut menawarkan keseronokan yang tak terhingga kepada kaki pancing, namun ia mempunyai risiko yang tersendiri.

Ini kerana jelasnya, disebabkan Batu Laut menjadi laluan kapal dagang yang melalui Selat Melaka, ia boleh membahayakan keselamatan para pemancing khususnya yang menaiki bot bersaiz kecil.

“Biasanya, para pemancing yang sudah biasa berkunjung ke Batu Laut akan lebih peka terhadap keadaan sekeliling, khususnya kehadiran kapal-kapal dagang.

“Ia bagi mengelak berlakunya kemalangan khususnya insiden bot pemancing dilanggar kapal dagang sehingga boleh mengancam nyawa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN