2024 adalah tahun yang ‘meriah’ dengan pilihan raya. Kalau tidak silap, ada lebih 90 pemilihan kerajaan baharu sama ada telah dibuat dan bakal diadakan di seluruh dunia pada tahun ini.
Terkini, Perdana Menteri India, Narendra Modi menang tipis dan sukar untuk meneruskan agenda partinya, BJP secara sewenang-wenangnya.
Ini disebabkan kerajaannya terikat kepada parti-parti lain yang membentuk kerajaan campuran dengan BJP.
Namun, mata dunia seharusnya tertumpu kepada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat(AS) yang bakal berlangsung pada November ini.
Tidak seperti kelaziman, kempen pilihan raya AS kali ini bermula kecoh dan penuh dengan ketidaktentuan.
Minggu ini, calon Parti Republikan yang sinonim dengan kontroversi, Donald Trump didapati bersalah atas kesalahan jenayah.
Trump yang bakal berdepan sama ada hukuman penjara, denda, kedua-duanya sekali atau diletakkan di bawah pengawasan, melakar sejarah sebagai bekas presiden AS pertama bergelar penjenayah.
Laluan seterunya, Presiden Joe Biden juga tidaklah begitu lancar. Suka atau tidak, imej beliau tercemar apabila anak lelakinya, Hunter Biden dibicarakan atas kes jenayah.
Lantaran, apa yang anehnya di sini? Anehnya adalah kedua-dua Parti Republikan dan Demokrat sedikit pun tidak berasa goyah dan segera mencari calon pengganti masing-masing.
Trump agak narsistik wibawanya dan agak dogmatik dasarnya sedangkan Biden pula, kebolehupayaan beliau dalam mentadbir negara dikatakan agak kurang lancar.
Sejak beberapa bulan lalu, ramai melihat Setiausaha Negara, Antony Blinken terbang ke serata ceruk rantau untuk mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah termasuk krisis berat yang begitu mendesak dan memerlukan campur tangan Washington seperti perang Gaza.
Begitupun situasi semasa, Demokrat langsung tiada memberi bayangan tentang kesediaan meletakkan calon lain pada pilihan raya kali ini contohnya, Michelle Obama.
Sama juga dengan Republikan, nama Greg Abbott terus sepi sedangkan beliau tidak kurang wibawanya dan tidak seperti Trump, Abbott pragmatik orangnya.
Dalam negara AS yang mempunyai lebih 300 juta penduduk dan belasan pemimpin pelapis, hanya Trump dan Biden yang ditampilkan kepada pengundi sebagai calon ‘creme de la creme’ yang mampu menerajui negara?
Atau adakah calon lain asing kepada rakyat AS dan sukar untuk memancing sokongan pengundi seperti pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.
Walaupun AS sebuah negara demokrasi, pilihan raya di negara itu, termasuk pilihan raya Presiden dan pilihan raya separuh penggal, telah sekian didominasi oleh dua parti politik sahaja iaitu Parti Republikan dan Demokrat.
Ramai juga tidak tahu bahawa AS mempunyai berbilang parti politik, namun pengaruhnya amat kecil sehingga digelarkan ‘parti politik ketiga’.
Ia termasuk Parti Hijau, Parti Libertarians, Parti Perlembagaan dan Parti Natural Law. -KOSMO! ONLINE














