BACHOK – Kubu perang zaman British yang terdapat di pesisir pantai di Kelantan semakin menghilang apabila ditelan sedikit demi sedikit disebabkan hakisan ekoran tiada usaha konservasi atau pemuliharaan oleh pihak berkuasa.
Lebih menyedihkan apabila 11 daripada 19 binaan yang dibina sekitar tahun 1930-an itu semakin mendap, senget dan ada yang sudah menyembah bumi ekoran tiada usaha tersusun dalam usaha mengekalkan aset sejarah negara.
Difahamkan, kubu-kubu itu dibina ketika zaman Perang Dunia Kedua apabila British membantu kerajaan daripada serangan tentera Jepun.
Kubu-kubu tersebut akan tenggelam dan terus lenyap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Ketua Bidang Elektif Konservasi Warisan, Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan, Nur Athmar Hashim berkata, kubu perang itu disedari semakin tenggelam ketika dia memulakan kajian pada 2019.
Katanya, kubu yang terkesan terdapat di lima daerah iaitu Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Puteh dan Machang.
“Kubu di Bachok paling banyak terkesan apabila 11 binaan di Kampung Ger, Kuala Rekang, Anak Rhu, Pantai Chap, Pantai Tok Abah, Tok Burung, Pulau Belongan, Kubang Kawah, Kubang Golok, Merabang dan Pantai Baru makin tenggelam.
“Ia makin cepat tenggelam sejauh lima meter ke dalam tanah kerana terletak di tepi pantai menjadikannya mudah terdedah kepada mendapan dan hakisan tanah,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Nur Athmar, empat lagi kubu di Kota Bharu iaitu di Jalan Tok Hakim, Kampung Baung, Batu 6 dan Pulau Kundur masih dalam keadaan baik meskipun sudah tidak dijaga.
Hanya sebuah kubu di Kota Bharu terdapat kesan tembakan dan kesemuanya dibina menghadap ke arah timur untuk memudahkan pergerakan ketika diserang.
Ahli Majlis Tertinggi Ikatan Arkeologi Malaysia itu menambah, kubu di Tumpat iaitu di Kampung Pantai Sri Tujuh, manakala Kampung Dalam Rhu di Pasir Puteh dan Kampung Lalang Luas, Machang ketika ini berada dalam keadaan terbiar.
“Hakisan berlaku apabila keadaan geomorfologi dan perubahan pantai mengubah lantai kawasan hingga membentuk mendapan,” katanya.
Ujar Nur Athmar, walaupun hakisan itu berlaku dalam tempoh yang lama, namun kubu itu masih kukuh kerana bahan binaan yang digunakan sangat berkualiti tinggi.
“Kajian mendapati, dinding kubu dibina menggunakan batu sungai, manakala simen bertambah kukuh apabila disaluti cengkerang hidupan laut.
“Besi turut digunakan sebagai struktur binaan utama kerana proses pengaratan sudah banyak berlaku di kawasan dinding,” katanya.
Menurut Nur Athmar, hampir kesemua kubu di Bachok dan Kota Bharu berbentuk nonagon (sembilan penjuru) bertingkap untuk memudahkan British meletakkan senjata api untuk membedil tentera Jepun yang menceroboh melalui jalan laut.
Tambahnya, kajian bermula lima tahun lalu selepas memperoleh Skim Geran Jangka Pendek UMK sebelum disambung dengan Skim Geran Penyelidikan Fundamental oleh Kementerian Pengajian Tinggi.
“Mungkin tiada yang mahu menghargainya kerana dibina British tetapi ia tetap merupakan aset bersejarah yang mengatakan Tanah Melayu pernah terlibat dalam Perang Dunia Kedua,” katanya.
Ujar Nur Athma, ada antara kubu itu dijadikan dinding rumah, tempat buang sampah dan sarang penagih dadah.
“Kewujudan kubu-kubu perang itu hanya sekadar binaan simen yang berada di kawasan laut. Saya berharap pihak berwajib berbuat sesuatu untuk menyelamatkan baki kubu yang ada,” katanya.















