fbpx
Noor Azmi Ariffin meriba Ainul Mardiah di sisi Muhammad Afnan dan Nurul Jannah di upacara pengebumian Allahyarham Faridah (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, Tualang di Pokok Sena, semalam.

Jasad isteri sempurna, cantik – Suami Sarjan Faridah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENDANG – Keluarga kepada anggota Batalion Malaysia 850-11 (Malbatt 850-11), Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, melahirkan rasa syukur kerana berpeluang menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Pokok Sena, semalam.

Menurut suami Faridah, Noor Azmi Ariffin, 39, jasad wanita itu sempurna dan cantik seperti sebelum dia berangkat pulang ke Lebanon pada 17 Mei lalu.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga risau andai tidak berpeluang menatap wajah arwah buat kali terakhir kerana sudah lebih se­minggu arwah meninggal dunia. Namun hari ini (semalam) kami dapat peluang ini.

“Wajah isteri saya sempurna dan wangi, sangat sempurna dan cantik seperti kali terakhir saya memandang arwah ketika berlepas pulang ke Lebanon Jumaat minggu lepas.

“Begitu juga jasadnya ketika saya menurunkannya di liang lahad sempurna. Alhamdulillah. Saya reda seikhlasnya pemergian isteri saya. Dia pergi dengan baik dan urusan pengebumiannya juga lancar. Orang ramai juga hadir mendoakannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Mati di sini semalam.

Menurut bekas anggota tentera itu, anak mereka juga bersyukur apabila dapat menatap wajah ibu mereka buat kali terakhir walaupun ia sangat menyedihkan.

“Apabila kali pertama memandang ummi mereka, semua menangis termasuk anak bongsu kami tetapi semuanya sudah dapat menerima kenyataan ibu mereka sudah tiada lagi.

“Saya cuba menerangkan bahawa ummi mereka pergi dalam keadaan yang sangat mulia dan ketika berkhidmat supaya mereka lebih memahami,” ujarnya.

Sementara itu menurut ibu Faridah, Salmah ­Hassan, 57, dia lega apabila dapat menatap wajah anak sulungnya itu buat kali terakhir.

“Anak saya cantik dan sempurna. Bersih sahaja wajah arwah macam sebelum dia pergi dahulu. Saya cium dahinya dan wangi sungguh jasadnya. Alhamdulillah, saya sudah hampir putus harapan kerana risau tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir.

“Alhamdulillah Allah SWT permudahkan untuk kami terutama anak-anaknya yang sangat ­merindui arwah,” katanya.

Terdahulu, jenazah Faridah yang meninggal dunia pada Sabtu lepas selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, Tualang di Pokok Sena dekat sini, semalam.

Jenazah diimamkan oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan, Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam dari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Allahyarham Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13, Muhammad Afnan, 10, Nurul Jannah, 7, dan Ainul Mardiah, 4.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN