fbpx
Syed Yusof (dua dari kiri, depan) menaiki bas menuju ke satu majlis perasmian sebuah hotel baharu miliknya di Sepang baru-baru ini.

Saya tidak boleh bersara – Jojo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam perkembangan industri perhotelan negara yang kini semakin pantas, pastinya usahawan korporat iaitu Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir atau lebih popular dengan gelaran Jojo amat dikenali dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang memegang beberapa jawatan utama seperti Pengerusi ISY Holdings Sdn. Bhd. dan juga menjadi orang penting dalam industri perhotelan memiliki pengalaman yang sangat meluas bukan sahaja dalam bidang perbankan tetapi juga hiburan yang melibatkan beberapa konsert artis luar negara.

Lebih menarik, Saloma Bistro & Theatre Restaurant yang terletak di Jalan Ampang adalah hasil ‘air tangan’ menjadi Jojo selama 16 tahun sebelum ia diserahkan kepada kerajaan dan ditutup operasinya pada tahun 2018.

Ketika itu, Saloma Bistro terkenal sebagai salah satu destinasi pelancongan yang sangat unik dalam kalangan pelancong antarabangsa dan tempatan.

Kini, Syed Yusof memiliki enam buah hotel dan turut terbabit dalam beberapa hotel lain seperti The Four Season secara usaha sama. Beliau kini terus aktif dalam bidang tersebut serta mahu berbakti kepada lebih 2,000 kakitangannya.

“Ada orang bagi nasihat suruh saya bersara sebab sudah tua tetapi apabila ada peluang di depan mata, saya ambil peluang tersebut. Saya tak boleh bersara sebab saya mahu buat banyak lagi perkara,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Concorde Kuala Lumpur (KL) baru-baru ini.

 

KOSMO!: Tan Sri memang dikenali dalam industri perhotelan, boleh jelaskan tentang perkembangan terbaharu?
Syed Yusof: Ya, dalam industri hotel ini, saya tidak berseorangan kerana saya dikenali oleh ramai orang. Jadi, bila ber­ada di mana-mana di dalam negara walaupun di luar negara, mereka akan menyapa saya dan memaklumkan bahawa mereka pernah berkunjung atau bekerja di Hard Rock KL, Concorde KL dan juga hotel yang lain.

Ini memberi semangat dan keceriaan kepada saya. Pada masa sekarang, saya bersama rakan perniagaan memiliki enam buah hotel antaranya ialah Concorde KL, Concorde Shah Alam, Hotel Casa Del Rio di Melaka, Casa Del Mar di Langkawi dan juga di Terengganu.

Saya juga baru membuka sebuah hotel baharu di Sepang iaitu IBIS Styles Sepang KLIA bulan Februari lalu.

Bila Tan Sri mula terlibat dalam bidang perhotelan dan mengapa memilih bidang ini?
Saya sudah terlibat dalam bidang ini lebih daripada 30 tahun, saya mula beli hotel ini (Concorde KL) sejak awal tahun 1990-an dan Concorde Shah Alam juga saya anggap sebagai ‘my baby’.

Terlibat dalam perniagaan hotel ini saya anggap ia sebagai satu cadang bisnes yang menarik dan menawarkan banyak peluang untuk saya ceburi.

Setiap hari ada sahaja peluang ditawarkan dan kalau saya tidak mengambil peluang tersebut, pastinya saya akan terlepas.

Apa pandangan Tan Sri tentang bidang perhotelan sekarang?
Hotel adalah satu bidang bisnes yang sukar khususnya di Malaysia sebab kadar harga bilik yang ditawarkan terlalu rendah dan murah.

Disebabkan semua pemain turut menawarkan kadar harga bilik yang rendah jadi kami tidak boleh naikkan harga, disebabkan itu kami perlu memantau perkembangan pasaran semasa jika mereka semua tidak naikkan kadar maka kami pun tiada pilihan, tetapi jika semua bersetuju untuk naikkan kadar harga, maka ia satu perkemba­ngan yang baik untuk semua.

Sejak dahulu lagi perkara ini kita amalkan dan ia adalah satu tindakan yang salah.

Bagaimana cara hotel dapat mengatasi isu kadar harga rendah dan tip untuk mencatat keuntungan?
Asalkan bisnes itu menjana pendapatan yang kukuh setiap bulan kepada syarikat, maka ia adalah satu perkara yang baik tetapi kita juga boleh menambah pendapatan daripada segmen lain seperti bidang makanan dan minuman, acara perkahwinan yang diadakan di hotel, sewaan bilik mesyuarat dan majlis serta memfokuskan kepada tawaran bilik kepada pelanggan.

Sumber terbaik bagi sesebuah hotel adalah jualan bilik yang mana ia boleh mewakili kira-kira 80 peratus daripada pendapatan hotel. Jika kita beri tumpuan kepada sumber tersebut, ia akan menjana hasil keuntungan yang baik kepada hotel.

Pada masa sekarang, banyak pelancong dari China masuk ke Malaysia dan ini banyak membantu menggalakkan industri pelancongan tempatan.

Berapakah kadar penginapan hotel milik Tan Sri pada masa sekarang?
Bagi Concorde KL kadar penginapannya adalah kira-kira 75 peratus, manakala di Shah Alam lebih kurang 65 peratus.

Saya juga teruja dengan sambutan baik yang diterima daripada pelancong asing dan tempatan terhadap dua hotel butik hotel, iaitu di Casa Del Rio Melaka dan Casa Del Mar di Langkawi.

Ramai pelancong dari Eropah datang bercuti ke Casa Del Mar di Langkawi kerana banyak faktor seperti lokasinya yang terletak berdekatan dengan tepi pantai, pemandangan, persekitarannya dan yang penting perkhidmatan hospitaliti yang terbaik daripada kakitangan hotel.

Unitnya tidak banyak tetapi kadar harga yang ditawarkan adalah kira-kira RM1,200 semalam. Hotel itu selalu penuh.

Hotel mana yang paling Tan Sri suka dan banyak meninggalkan kenangan selama ini?
Pastinya Concorde KL sebab ini adalah hotel yang sudah lama beroperasi. Banyak kena­ngan dan sejarah di sini dan ia berdekatan dengan Hard Rock KL hanya di sebelah bangunan.

Jadi di sini boleh menjadi sebagai pusat hiburan setempat sebab banyak program hiburan berlangsung di sini, ia juga ada lounge dan restoran serta juga mendapat tempat dalam kala­ngan pelanggan untuk tempahan resepsi perkahwinan di sini.

Kadar bilik juga di sini agak berpatutan.

Apa perancangan terbaharu Tan Sri terhadap Concorde KL?
Sebelum ini, kami pernah bercadang untuk membangunkan semula hotel yang baharu di sini tetapi bila fikirkan semula, bukan masa yang sesuai. Kami akan te­ruskan pengoperasian Concorde KL sebab ia adalah hotel yang mencatat keuntungan.

Apa pula perancangan terbaharu Tan Sri?
Hotel ini adalah sebuah perniagaan yang sentiasa menyinar dan ia berkait rapat dengan hospitaliti.

Saya sudah terlibat dalam banyak bidang seperti pembinaan, pengurus majlis dan hiburan serta juga perbankan.

Saya masih aktif dengan pelbagai aktiviti termasuk kerja-kerja amal dan sentiasa mencari pe­luang baharu untuk berniaga. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN