HULU TERENGGANU – Seorang penternak kerugian RM10,000 apabila enam daripada lapan ekor lembu bersaiz sederhana peliharaannya mati dipercayai dibaham tiga ekor harimau belang dalam kejadian di Kampung Kemat di sini kelmarin.
Abd. Muien Shafie, 41, berkata, dia menemui bangkai kesemua lembu itu di dalam kawasan ladang miliknya seluas empat hektar ketika datang untuk membuat tinjauan pada pukul 10 pagi.
Katanya, dia mengesyaki sesuatu tidak kena apabila tercium bau busuk sebaik memasuki ladang yang menjadi lokasi lapan ekor lembunya dipelihara.
“Mula-mula saya jumpa dua ekor lembu yang masih hidup. Tidak lama kemudian saya jumpa pula bangkai enam haiwan ternakan yang hilang bergelimpangan di sekitar kawasan ladang.
“Keadaannya sangat mengerikan dengan sebahagiannya ha nya tinggal rangka dan fizikalnya tidak sempurna. Ada yang mati dengan kesan terkaman pada leher sahaja,” katanya ketika ditemui di Kampung Kemat di sini semalam.
Menurut Abd. Muien, lebih mencemaskan, dia turut terdengar bunyi ngauman tidak jauh dari lokasi penemuan bangkai haiwan ketika melakukan tinjauan di situ.
Tambahnya, serangan harimau belang itu bukan pertama kali berlaku kerana lebih 20 ekor lembu ternakan milik penternak lain di kampung tersebut turut menjadi mangsa sejak setahun lalu.
“Kali terakhir ia berlaku Ramadan lalu apabila dua ekor lembu penternak lain di sini mati dibaham harimau. Kami percaya lembu itu diserang oleh tiga ekor harimau yang masih berkeliaran di kawasan hutan berdekatan kampung,” katanya.
Ujar Abd. Muein, sebelum ini mereka telah mengambil inisiatif memasang pagar elektrik di kawasan ladang peliharaan lembu, namun ia kurang berkesan.
Katanya, serangan harimau belang itu juga sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.
“Bagaimanapun, setakat ini, haiwan liar terbabit masih gagal ditangkap sebaliknya terus menyerang ternakan sehingga menakutkan kami penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang perangkap untuk menangkap harimau itu sebaik menerima laporan.














