“SEJAK berada di tadika lagi, saya memang suka membaca.
“Bermula dengan suka membaca surat khabar sehingga terbaca berita-berita mengenai jenayah membuatkan saya nekad bergelar peguam.”
Itu kata-kata Nur Dinie Shariffuddin, pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu yang bercita-cita mahu menjadi peguam sejak kecil.
Ujarnya, dia turut mendapat galakan awal dan inspirasi daripada datuknya yang merupakan bekas pegawai polis.
“Dahulu datuk saya seorang pegawai polis dan dia sering bercerita mengenai kes-kes jenayah yang dikendalikannya.
“Saya jadi teruja setiap kali datuk bercerita mengenai tangkapan-tangkapan kes yang dilakukan.
“Lagipun, sejak di bangku sekolah lagi saya sudah aktif dalam bidang pengucapan awam, jadi saya petah berkata-kata,” katanya kepada iGen.
Tambah Nur Dinie, 23, datuknya juga berpesan, orang yang suka membaca dan berani bercakap ini bagus dan sesuai jadi peguam.
Maka katanya, sejak itulah dia rasa bidang perundangan sesuai dengan personaliti dan perwatakannya.

Tambah anak sulung daripada dua beradik itu, sejak itu dia menanam impian dan belajar sungguh-sungguh hingga berjaya menempatkan diri dalam bidang undang-undang di universiti.
“Bagi saya, ilmu-ilmu dan kemahiran yang dipelajari sepanjang berada di fakulti undang-undang dapat memberikan banyak manfaat kepada dirinya dan orang di sekeliling.
“Saya berharap saya dapat menembusi industri pekerjaan dan diterima baik dalam bidang perundangan setelah tamat belajar kelak.
“Walaupun belajar di universiti yang terletak di Pantai Timur, saya berharap bakal majikan saya dalam bidang ini akan melihat nilai sebenar diri saya tanpa mengira latar belakang alma mater saya,” ujarnya.
Dinie turut berharap dapat menjadi pengamal undang-undang yang boleh membantu ramai orang yang mungkin tidak ada pengetahuan mengenai selok-belok perundangan.
Kongsi Dinie, sepanjang menuntut di UniSZA, dia telah menerima pelbagai anugerah dan pencapaian.
Antaranya Johan Kategori A Penghujahan Mahkamah Peringkat Kebangsaan 2024, Penghujah Terbaik Kategori A Penghujahan Mahkamah Peringkat Kebangsaan 2024,
Anugerah Pelajar Terbaik (Kokurikulum) Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa UniSZA, Anugerah Dekan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang bagi setiap semester dan finalis Anugerah Tokoh Siswa 2023.
Tidak setakat itu, gadis manis ini juga pernah memenangi tempat kedua Pendebat Terbaik Keseluruhan Debat Diraja 2023, tempat ketiga Pertandingan Debat Tenaga 2022, Presiden Persatuan Mahasiswa Undang-undang Tahun 2024 dan Timbalan Presiden Kelab Orator Unit Bahasa Melayu UniSZA 2023.
















