PETALING JAYA – Spritzer EcoPark menghidupkan semangat perayaan dengan nostalgia zaman dahulu dengan menampilkan perhiasan kreatif hari raya yang berwarna-warni seiring dengan sempena ulang tahun ke-150 bandar bersejarah Taiping itu.
Pameran Spritzer untuk Raya 2024 menggunakan tema “Colourful Raya” dengan menonjolkan motif wau bulan dan bunga raya sebagai simbol keharmonian bagi menggambarkan kekayaan warisan budaya Malaysia.
Ketua Perhubungan Awam Spritzer, Winnie Chin berkata, Spritzer EcoPark teruja untuk sambutan Hari Raya dan ulang tahun ke-150 Taiping bagi pengunjung yang ingin menikmati keindahan semula jadi dan suasana percutian serta mencipta kenangan yang tidak akan dilupakan.
Menurut beliau, Spritzer Ecopark memupuk keharmonian dan kelestarian bagi pameran Raya berwarna warni dengan menggunakan bahan kitar semula dan mengubahsuai elemen terhadap pemuliharaan alam sekitar.

“Kami sentiasa berusaha mendorong orang ramai untuk meneroka dan menghargai alam sekitar bagi menghargai dan melindungi khazanah alam,”katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Selain itu, Chin menerangkan, Spritzer EcoPark menawarkan promosi istimewa di kedai cenderahati dan kedai air serta pengunjung juga boleh meneroka denai secara santai dengan meninjau keunikan Batu Kaktus berusia 214 juta tahun.
“Pengunjung boleh menyertai bengkel kraf tangan DIY atau berehat di kafe STG sambil beramah-mesra dengan sanak-saudara atau kawan-kawan sambil menikmati suasana persekitaran,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














