KEMAMAN – Seorang wanita di Kampung Enjin Gergaji, Chukai di sini tidak menang tangan menerima tempahan 15,000 biji ketupat palas untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut minggu depan.
Roslaini Omar, 52, berkata, setiap hari dia dengan bantuan suami, Jusoh Abdullah, 62, dan seorang pekerja akan menyiapkan sekurang-kurangnya 1,000 biji ketupat palas sejak pertengahan Ramadan lalu bagi memenuhi tempahan pelanggan tersebut.
“Tempahan diterima sebenarnya lebih banyak lagi tetapi saya hadkan kepada 15,000 biji sahaja demi menjaga kualiti.
“Pembuatan 1,000 biji ketupat palas sehari memakan masa kira-kira tujuh jam untuk disiapkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Enjin Gergaji, Chukai di sini semalam.
Roslaini berkata, sebanyak 20 kilogram beras pulut dan lebih enam kilo santan kelapa diperlukan bagi menghasilkan 1,000 biji ketupat palas berkenaan.
Nenek kepada empat cucu tersebut berkata, dia menggunakan teknik mengukus beras pulut yang merupakan bahan asas ketupat palas sebanyak dua kali bagi memastikannya tahan lama.
“Kukusan pertama dengan air manakala kukusan kedua, beras pulut terbabit baru digaul dengan santan kelapa.
“Teknik itu bukan sahaja menjadikan ketupat palas saya tidak mudah basi malah boleh dimakan terus tanpa perlu direbus semula terlebih dahulu oleh pelanggan,” katanya.
Roslaini berkata, sebiji ketupat palas biasa yang lemak manis dijual pada harga 75 sen dan RM1 bagi berinti serunding dan kacang merah.
Dia berkata, selain tempahan raya, dia juga membekalkan ketupat palas kepada peniaga bazar Ramadan sekitar daerah ini sejak 20 tahun lalu.














