SUNGAI PETANI – Gangguan bekalan air yang ditanggung sebahagian besar penduduk di Merbok, di sini sejak lebih 10 tahun lalu dijangka berlarutan pada musim perayaan hingga mereka mula menyimpan bekalan air untuk menyambut kepulangan anak dan cucu pada Aidilfitri ini.
Penduduk Kampung Kuala Segantang Garam, Azizah Ismail, 62, berkata, dia mula membeli tong selain mencuci kolah di rumahnya untuk menyimpan air bagi kegunaan empat anak menantu dan cucunya yang akan pulang menyambut hari raya.
“Saya buat persediaan awal kerana tidak mahu kemeriahan Aidilfitri terganggu kerana kali ini giliran mereka beraya di sini.
“Selain menadah air yang dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (SADA), saya turut membeli air mineral untuk kegunaan sepanjang lebaran ini,” katanya di sini semalam.
Muzaid Rejab, 36, berkata, kehidupan mereka selama ini hanya bergantung kepada bekalan air dihantar kontraktor SADA dua kali sehari.
“Sejak seminggu lalu saya mula menyimpan air selain mencatu penggunaannya untuk mengelak kekurangan bekalan air pada hari raya nanti.
“Rumah yang saya duduki merupakan rumah pusaka dan menjadi lokasi pertemuan dua kakak dan seorang abang setiap kali perayaan,” katanya.
Dalam pada itu, Haminah Ahmad, 82, dari Kampung Sungai Gelam, di sini berkata, dia sanggup berhabis duit membeli tong air untuk dijadikan bekas simpanan air.
“Anak perempuan saya yang menetap di Kuala Lumpur dan anak lelaki yang bekerja di Kelantan akan pulang beraya di sini menyebabkan saya perlu menyimpan air secukupnya.
“Sudah tentu banyak bekalan air untuk kami mandi, minum dan membasuh sepanjang mereka di sini,” katanya.
Sementara itu, Azman Awang, 60, berkata, disebabkan bekalan air paip tiada langsung di kampungnya, dia telah mencatu air yang dihantar SADA selama ini dan membeli air botol untuk diminum.
“Kami juga bimbang sekiranya pihak kontraktor yang dilantik SADA tidak menghantar air kerana bercuti raya nanti,” katanya.
















