BAGI penonton setia rancangan berita era 1990-an, pasti amat mengenali sosok wanita yang penuh karismatik ini.
Sebagai wartawan penyiaran dan diberi kepercayaan menjadi penyampai berita TV3, nama Azura Abdul Karim meniti di bibir penonton.
Dia juga adalah insan yang pernah mencatat sejarah dalam dunia penyiaran Malaysia apabila menjadi penyampai berita pertama berhijab atau bertudung penuh di kaca televisyen.
Peristiwa yang berlaku pada tahun 1996 itu bagai mengubah lanskap penyiaran negara dan merintis jalan kepada kemunculan lebih ramai personaliti bertudung litup dan menjaga aurat di televisyen.
Mengimbas kerjayanya sebagai wartawan penyiaran, wanita yang kini berusia 56 tahun itu mengakui perjalanan kariernya tidak pernah dirancang.
“Sumpah sebenarnya penglibatan saya untuk bekerja di televisyen memang tidak pernah dirancang.
“Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Teknik Bukit Piatu Melaka, saya memulakan kerjaya pertama sebagai pramugari di Malaysia Airlines System (MAS) dan bertahan selama empat tahun.
“Bertemu jodoh dengan juruterbang di syarikat sama, Sahrudin Mohd. Yasin di penghujung kerjaya sebagai pramugari, saya nekad untuk tidak lagi ‘terbang’ dan fokus kepada rumah tangga,” katanya kepada Aura dalam pertemuan dengannya baru-baru ini.
Azura memberitahu, pada Februari 1991, dia memulakan kerjaya di TV3 sebagai wartawan penyiaran.
Seperti yang diperkatakannya, kerjayanya di syarikat konglomerat media itu memang tidak pernah dirancang, sebaliknya dicetuskan ‘tangan’ lain yang percaya dengan potensinya.
“Ketika itu saya baru sahaja melahirkan anak sulung dan sedang berpantang. Saya terima panggilan daripada pihak TV3 memberitahu permohonan saya berjaya dan mereka minta saya datang ke studio untuk sesi temu duga.
“Pada masa itu, saya memang terkejut kerana saya langsung tak pernah apply (buat permohonan).
“Saya baru tahu yang sebenarnya resume saya telah dihantar ke TV3 oleh kakak ipar saya sendiri yang pada ketika itu tinggal serumah bersama saya dan suami,” kata Azura.
Ceritanya, jadi bermulalah kerjayanya sebagai seorang wartawan penyiaran dan mula ditempatkan di meja berita dan Majalah 3.
Akui Azura, dia begitu terkejut kerana tidak sampai berapa bulan bekerja, dia sudah ditugaskan ke meja Majalah 3 yang mana ramai tahu itu merupakan program terkenal di saluran TV3 ketika itu.
“Bayangkan perasaan saya ketika itu dapat bekerja dengan salah seorang hos Majalah 3, Wan Zaleha Radzi.
“Maka, dari situlah kerjaya saya di TV3 semakin berkembang dan dapat berkhidmat bersama rakan seangkatan dan nama-nama besar seperti Ezzah Aziz Fawzy, Nurfarahin Jamsari, Ras Adiba Radzi, arwah Datuk Mahadzir
Lokman, Zainal Ariffin Ismail, Christine Ling, Razak Abdullah dan ramai lagi,” tuturnya.

Selepas hampir lima tahun berkhidmat, tepatnya pada September 1996, Azura membuat ‘kejutan’ dalam kerjaya dan seluruh hidupnya apabila nekad dengan keputusan untuk berhijab penuh.
Mengimbau kembali, katanya keputusannya untuk berhijab penuh dan berpenampilan lebih sopan sebenarnya sudah lama disimpan dalam hati.
“Saya sudah beberapa kali mengerjakan ibadah umrah dan rasa macam ada yang tak kena selepas kembali daripada mengerjakan umrah.
“Hinggalah satu hari, saya dipanggil ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif TV3 ketika di bawah kendalian Yunus Said.
“Kebetulan saya baru balik daripada mengerjakan umrah. Dia tanya kenapa saya tak pakai tudung.
“Ketika itu, dengan spontan saya balas sebab masih lagi nak baca berita. Dia suruh saya ambil buku panduan etika kerja dan suruh saya cari ada tak mana-mana klausa tentang penyampai berita tidak boleh berhijab.
“Lantas saya jawab tiada. Dia tanya bila turn (giliran) saya untuk baca berita. Saya jawab Jumaat dalam minggu yang sama. Langsung dia telefonl bahagian wardrobe untuk sediakan tudung buat saya.
“Disebabkan mereka tiada pengalaman tentang hijab, saya pakai tudung sendiri. Segalanya dipermudahkan dan amat bersyukur serta berterima kasih juga kepada bos ketika itu,” katanya.
Akuinya, di awal penghijrahannya itu, dia begitu gementar dan risau dengan penerimaan penonton serta peminat dengan penampilan baharunya itu.
Tetapi katanya, syukur dia mendapat maklum balas yang begitu mengejutkan dan memberangsangkan terutama daripada peminat dengan terima berguni surat daripada mereka yang memuji dan mengucapkan tahniah.
Di sebalik populariti dan kerjaya yang semakin berkembang, ada juga cabaran yang terpaksa ditelan Azura.
Katanya, ketika di awal pembabitannya di televisyen, dia banyak belajar betapa pentingnya mempunyai hidup yang seimbang.
“Sebagai ibu muda yang bekerja ketika itu, jujur bukan mudah sebenarnya. Saya masuk tanpa ada sebarang ilmu pengetahuan tentang dunia kewartawanan.
“Namun, saya nekad untuk belajar dan tak segan bertanya kepada senior-senior walaupun ada juga dimarahi sebab banyak bertanya.
“Suami saya juga banyak membantu bahagian uruskan anak dan rumah. Dia adalah tulang belakang dan sumber inspirasi saya.
“Ketika saya rasa mahu putus asa, dia insan pertama yang ada dan pujuk saya untuk kuat dan teruskan.
“Bercakap soal pengorbanan pula, saya pernah tinggalkan keluarga selama tiga bulan untuk buat liputan Jejak Bahasa di seluruh Indonesia.
“Masa itu saya sudah ada empat orang anak yang kesemuanya masih kecil. Demi tugas, saya pasrah dan teruskan. Jejak Bahasa ialah program dokumentari tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mencari asal usul bahasa Melayu,” katanya lagi.
Masa berlalu, selepas hampir sedekad menabur budi berkhidmat, dia membuat keputusan untuk ‘bersara’ daripada dunia glamor tersebut bagi memberikan tumpuan 100 peratus kepada keluarga.

“Saya kemudian memulakan perniagaan berasaskan kraf tangan sekitar Oktober 2020 secara online hinggalah sekarang.
“Saya belajar buat decoupage pada mangkuk tingkat dengan memasuki kelas selama sehari. Atas minat yang sangat mendalam terhadap kraf tangan saya praktis sendiri di rumah sehingga saya yakin untuk berniaga.
“Pelanggan pertama saya adalah adik beradik sendiri. Seterusnya kawan-kawan dan orang awam.
“Beberapa tahun saya hanya fokus pada jualan online dan hanya pada tahun lepas ketika Hari Kemerdekaan barulah saya ambil satu gerai dan jual di Pasar Seni.
“Hari pertama dah sold out. Saya memang tak sangka sebab nak siapkan satu deko tiffin (mangkuk tingkat) pun ambil masa beberapa hari,” katanya.
Kongsinya, sepanjang bulan Ramadan ini, dia memang sibuk dari subuh sampailah ke malam untuk menyiapkan tempahan deco tiffin yang ditempah syarikat-syarikat korporat untuk dijadikan cenderamata.
“Alhamdulillah saya turut dibantu anak dalam menyiapkan tempahan dan semakin ramai kenal jenama saya, Decopatch Tiffin by Azura Abdul Karim.
“Tahun ni juga saya dapat tempahan dari Wacoal Malaysia untuk kempen Ramadan mereka,” katanya.
Menutup perbualan, anak kelahiran Taiping, Perak ini mengambil kesempatan mengucapkan selamat berpuasa dan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Aura dan seluruh umat Islam.














