fbpx
Rokiah menunjukkan kuih nekbat yang ditempah pelanggan ketika ditemui di rumahnya di Pulau Musang, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Nekbat ganti pisang goreng sepanjang Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Seorang pengusaha nekbat tidak menang tangan menyiapkan tempahan sehingga 5,000 biji kuih tradisional itu setiap hari sejak 1 Ramadan lalu.

Rokiah Deraman, 59, berkata, sebanyak 500 biji telur dan 10 kilogram tepung beras digunakan setiap hari bagi menghasilkan nekbat yang popular pada bulan puasa.

“Pada bulan biasa, saya menjual pisang goreng. Saya hanya jual nekbat pada bulan Ramadan sejak 20 tahun lalu.

“Permintaan memang tinggi kerana ia merupakan pencuci mulut yang digemari orang Pantai Timur dan hanya boleh didapati pada bulan puasa,” katanya ketika ditemui di Pulau Musang di sini semalam.

Jelas Rokiah, dia masih membuat nekbat secara tradisional menggunakan dapur kayu.

“Saya merupakan generasi ketiga dalam keluarga yang menjadi pengusaha nekbat,” ujarnya.

Rokiah memberitahu, setiap hari sepanjang Ramadan ini, dia mula menghasilkan nekbat seawal pukul 7 pagi dengan dibantu dua pekerja.

Pelanggannya pula bukan sahaja terdiri penduduk tempatan, malah anak rantau yang menetap di luar Terengganu termasuk di Lembah Klang.

“Penghantaran nekbat kepada pelanggan yang berada di luar Terengganu dilakukan secara pengeposan.

“Saya menjual nekbat pada harga RM30 bagi 100 biji atau 30 sen sebiji,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN