fbpx
Dr. Muhammad Danial Hafiz memeriksa seekor kucing yang ditempatkan di KT Vet, Kuala Nerus semalam.

Tuan beraya, kucing duduk hotel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Pengusaha pusat penjagaan kucing di daerah ini dan Kuala Terengganu mula tidak menang tangan menerima tempahan daripada pencinta si bulus menjelang musim cuti pe­rayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pemilik Klinik Haiwan Kuala Terengganu (KT Vet), Dr. Muhammad Danial Hafiz Mohd. ­Suadinata berkata, tempahan bagi hotel kucingnya yang boleh memuatkan 80 ekor pada satu-satu masa kini sudah hampir penuh.

“Sambutan diterima sangat baik dengan tempahan hanya berbaki 20 peratus bagi bilik berkelas VIP atau VVIP.

“Ikut pengalaman tahun-tahun lalu, saya jangka hotel ku­cing kami akan penuh menjelang musim cuti perayaan Aidilfitri ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Muhammad Danial Hafiz berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan menambah sangkar bagi meningkatkan kapasiti penempatan kucing berikutan sambutan memberangsangkan tersebut.

Beliau berkata, pakej penginapan kucing ditawarkan antara RM15 sehingga RM70 semalam dengan minimum tempoh lima hari.

“Setiap kucing yang ditempatkan di KT Vet akan diperiksa tahap kesihatan dan kebersihan dua kali sehari termasuk pada hari pertama Aidilfitri.

“Saya dan isteri, Dr. Suhaila Solahudin dengan bantuan pekerja juga akan memastikan setiap sangkar kucing terbabit sentiasa bersih,” katanya.

Muhammad Danial Hafiz berkata, pemilik kucing juga akan dimaklumkan perkembangan si bulus kesayangan mereka ­menerusi kiriman video setiap hari sepanjang tempoh penja­gaan.

Sementara itu, Norita Mohd. Mokhtar, 48, sanggup berhabisan ratusan ringgit untuk menempatkan 11 ekor kucingnya di hotel kucing pada musim cuti perayaan Aidilfitri nanti.

Guru yang berasal dari Setiu memberitahu, tidak kisah membayar kos tinggi asalnya kesemua haiwan kesayangannya itu selesa dan selamat sepanjang tempoh dia dan keluarga pulang beraya nanti.

“Saya mahu kucing-kucing peliharaan yang dianggap anak sendiri ini tetap menerima penjagaan terbaik walaupun saya sekeluarga sedang bercuti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN