ALOR SETAR – Seorang pempengaruh mendedahkan dia kerap ditawarkan habuan wang mencecah ribuan ringgit bagi setiap kandungan berbentuk review berkaitan pelaburan yang dihasilkan.
Menurut Kanittha Manun, 27, dia bagaimanapun menolak tawaran itu meskipun bayaran yang ditawarkan agak lumayan tanpa berfikir panjang kerana terdapat keraguan mengenainya.
“Bagi saya, duit tidak boleh membeli segala-galanya. Kita tidak perlu menipu dan menyakiti orang lain demi kepentingan sendiri,” katanya kepada Kosmo!.
Bagi Kanittha, tindakan pempengaruh menghasilkan video palsu bukan hanya menyebabkan pengikut hilang kepercayaan, malah merendahkan reputasi diri atau syarikat.
“Saya tidak akan memilih cara sebegitu. Jika seseorang content creator itu terlibat menghasilkan video menipu penonton, orang ramai tidak lagi mempercayai mereka,” ujarnya.
Kanittha percaya rata-rata pengikut sekarang sudah pandai menilai kualiti kandungan yang dicipta seseorang pempengaruh.
“Jika pempengaruh itu memilih kandungan berbentuk menipu walau hanya sekali, ia akan membawa padah untuk jangka masa yang panjang,” jelasnya.
Kanittha tidak menafikan ada pempengaruh yang mementingkan wang sehingga mengabaikan integriti dan reputasi diri.
“Jika kes sebegini berleluasa dan memudaratkan, saya rasa tindakan tegas perlu diambil dan kempen kesedaran harus dipertingkatkan supaya netizen tidak mudah tertipu.
“Semua pihak termasuk pempengaruh seharusnya dididik untuk membuat kebaikan dan bersikap jujur,” katanya.
Seorang lagi pempengaruh, Mohd. Hafiz Md. Yatim, 34, pula mengakui ada pihaknya yang sanggup mengupah individu tertentu untuk menghasilkan video palsu kononnya berkongsi rezeki dengan memberikan hadiah lumayan seperti telefon pintar.
“Ia sudah menjadi trend untuk raih ramai pengikut, namun bagi saya pemain media sosial lain dapat kenal pasti dengan mudah sama ada direka atau sebaliknya.
“Perbuatan itu hanya akan menyebabkan netizen berpendapat kebanyakan pempengaruh sanggup menipu demi populariti,” kata beliau.
Jelasnya, perbuatan itu juga tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menimbulkan persepsi negatif dan fitnah.
“Pempengaruh yang keterlaluan sehingga merugikan ramai pihak dan menjatuhkan maruah wajar dikenakan tindakan.
“Tindakan itu demi melahirkan pempengaruh yang berintegriti dan mengelak perpecahan dalam masyarakat,” katanya.
Tambahnya, sebagai TikToker, dia lebih fokus kepada kandungan yang santai dan jenaka kerana ia mampu meredakan tekanan, manakala kandungan berbayar atau promosi adalah sampingan bagi menambah pendapatan.
















