fbpx
KURMA merupakan hidangan terbaik ketika berbuka puasa. – Gambar hiasan

Kawal makan ketika berbuka untuk kekal sihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDATANGAN Ramadan merupakan sesuatu yang dinantikan oleh semua umat Islam di seluruh dunia.

Di samping berpeluang untuk menambah amal ibadah, umat Islam juga dapat menikmati pelbagai hidangan lazat untuk berbuka puasa.

Ramai antara kita akan mengunjungi bazar Ramadan untuk mendapatkan hidangan lazat untuk dinikmati saat berbuka puasa.

Namun begitu, kita juga harus mengawal pengambilan makanan ketika berbuka puasa bagi memastikan kesihatan sentiasa baik.

Pakar Diet di Jabatan Pemakanan dan Dietetik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Nur Adila Samingan berkata, walaupun tujuan berpuasa pada bulan Ramadan adalah untuk membentuk disiplin diri, namun ada juga beberapa aspek praktikal perlu dipertimbangkan.

Menurutnya, penting untuk memahami terlebih dahulu bagaimana badan bertindak balas kepada makanan.

“Ringkasnya, badan kita menukar makanan menjadi tenaga dan sebarang lebihan akan bertukar menjadi glikogen yang kemudiannya disimpan,” katanya.

Tambahnya, proses itu dikawal insulin yang dihasilkan oleh badan semasa kita makan.

Ujarnya, lebih banyak kita makan, lebih banyak insulin yang terhasil dan semakin banyak tenaga disimpan.

Sebaliknya, ketika berpuasa, badan seseorang akan menggunakan dahulu tenaga daripada makanan terakhir yang dimakannya sebelum bertukar menjadi glikogen disimpan.

Dengan berlalunya hari, badan akan memecahkan protein dan lemak yang tersimpan untuk tenaga.

Mengulas lanjut, Nur Adila berkata, bagi melindungi diri, badan meningkatkan penghasilan hormon tumbesaran manusia untuk mengurangkan kehilangan otot.

“Selain itu, berpuasa mengurangkan penghasilan tekanan oksidatif dan meningkatkan aktiviti enzim antioksidan.

“Oleh itu, ia mengurangkan proses keradangan yang dikaitkan dengan jangka hayat lebih panjang dan sihat,” jelasnya.

Nur Adila berkata, bagi orang yang sudah biasa berpuasa selama bertahun-tahun, beberapa hari pertama tetap merupakan tempoh penyesuaian kerana badan menyesuaikan diri dengan jadual pemakanan berbeza.

“Bagi yang baru mula berpuasa, ingatlah badan kita cepat menyesuaikan diri. Sama seperti ketika kita mula bersenam yang menyebabkan otot terasa sakit sebelum menjadi lebih kuat.

“Penting sekali ibadah berpuasa ini tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

“Oleh itu, atas sebab kesihatan, wanita sedang haid, hamil atau menyusukan bayi dikecualikan daripada berpuasa, termasuklah mereka yang sakit kronik serta warga emas,” ujarnya.

Bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan ikutlah nasihat doktor jika masih mahu berpuasa.

Bagi penghidap diabetes, berbincanglah dengan doktor anda untuk mengetahui cara terbaik menguruskan pengambilan ubat dan makanan bagi mengelakkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah.

ADILA

Dalam kalangan pesakit diabetes, kencing kerap adalah tanda gula dalam darah tinggi, manakala peluh sejuk atau pening-pening merupakan gejala gula dalam darah rendah.

Sekiranya rendah, pesakit dinasihatkan untuk segera berbuka puasa kerana dalam kes melampau, keadaan begitu boleh menyebabkan koma diabetik.

Individu yang menghidap gastrik pula perlulah mengelak daripada mengambil makanan pencetus kepada keadaan itu seperti hidangan tinggi lemak, pedas, berlada, jus sitrus, minuman bergas dan kafein.

Namun begitu, setiap individu mempunyai reaksi berbeza terhadap makanan.

Jadi, sebaiknya rujuklah doktor anda sebelum mengambil sesetengah makanan.

Doktor boleh menasihati anda berdasarkan tahap kawalan anda.

Sementara itu, bagi membantu memudahkan anak-anak menikmati pengalaman berpuasa, Nur Adila menyarankan ibu bapa memperkenalkan puasa secara beransur-ansur.

“Untuk membantu mereka menghadapi masa hadapan apabila sudah diwajibkan berpuasa penuh, ibu bapa boleh mulakan dengan menggalakkan anak-anak berpuasa setengah hari atau berpuasa makan tetapi membenarkan minum.

“Akhir sekali, pastikan anda meraikan pencapaian mereka supaya mereka terus bermotivasi,” katanya

Semasa Ramadan, penting untuk menguruskan pengambilan makanan dengan baik bagi memastikan nutrien dan tenaga mencukupi untuk berpuasa sepanjang hari.

Sebagai contoh, pilihan baik untuk sahur termasuklah makanan tinggi serat dan karbohidrat kompleks seperti nasi daripada beras basmati, bijirin gandum penuh dan oat direndam semalaman.

“Makanan berserat tinggi dan kaya dengan protein mengambil masa lebih lama untuk dicernakan.

“Oleh itu, anda akan berasa kenyang lebih lama dan ini akan memberikan anda tenaga berterusan, sementara buah-buahan membantu penghidratan,” terang Nur Adila.

Dalam pada itu, ada makanan dan minuman yang perlu dielakkan ketika berpuasa seperti teh dan kopi kerana menyumbang kepada dehidrasi.

Nur Adila menjelaskan, ketika berbuka puasa, dia menyarankan supaya makan makanan mudah dihadam, bukannya makanan berat yang akan membebankan sistem pencernaan.

“Pilihan terbaik adalah air, kurma dan makanan ringan seperti agar-agar, puding dan buah-buahan atau bubur lambuk,” katanya.

“Kesimpulannya, hidangan lengkap yang mencukupi memberi nutrien penting kepada badan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN