RAUB – “Sehari sebelum kejadian, arwah suami meminta saya memasakkan rendang untuk berbuka puasa, tapi saya tak dapat tunaikan permintaannya kerana tidak cukup bahan.”
Demikian kata Norhasyima Mohd. Yatim, 37, isteri arwah Abd. Shukur Abdullah Suhaimin, 46, yang maut selepas membantu memadamkan api rumahnya dan rumah pusaka keluarga di Felda Tersang 1, di sini pada Ahad lalu.
Norhasyima berkata, sehingga kini dia berasa terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan arwah suaminya yang meninggal dunia secara mengejut dalam keadaan bersujud dipercayai akibat serangan jantung.
Ceritanya, pada hari kejadian, dia sekeluarga dikejutkan dengan jeritan penduduk yang meminta mereka keluar segera kerana api sedang marak
“Arwah suami bantu mengalihkan kenderaan dan menyelamatkan barangan penting. Sejam kemudian, kami baru sedar akan ketiadaan arwah.
“Kami cari arwah sebelum menemuinya di belakang rumah. Saya seperti tidak percaya apabila dimaklumkan dia sudah meninggal dunia. Dia pergi secara tiba-tiba,” katanya semalam.
Menurut ibu kepada dua anak itu, arwah yang bekerja kilang di Shah Alam tidak menunjukkan perubahan ketara, namun menolak untuk dibelikan pakaian baharu pada Aidilfitri ini.
“Arwah suami beri duit untuk belikan baju raya saya dan anak-anak. Arwah beritahu untuk pakaian dia, beli kemudian.
“Itulah sifat arwah yang sentiasa mengutamakan keluarga. Arwah juga berulang-alik setiap minggu dari Shah Alam dan Raub,” katanya.
Tambahnya, selepas ini dia akan membesarkan dua anaknya, Nur Aishah Natasha, 17, dan Muhammad Yusuff Danial, 12.














