Umat Islam di Malaysia mula menjalani ibadat puasa pada Selasa minggu lalu dan kebiasaannya umat Islam di negara ini akan berpuasa selama 29 atau 30 hari bergantung kepada penampakan anak bulan Syawal. Walaupun aman, kita tidak dapat mengelak daripada berpuasa dalam keadaan cuaca yang panas.
Berikutan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia, dijangkakan suhu maksimum harian negara boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat.
Sehubungan itu, adakah terdapat aturan pengambilan makanan dari segi sains selepas berbuka setelah golongan pekerja menjalani ibadat puasa lebih 12 jam dalam musim panas?
Mengulas perkara itu, Dekan Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak, berkata, pengeluaran air dari badan seperti peluh tidak dapat diganti pada waktu siang kerana umat Islam berpuasa.
Beliau berkata, peluh itu akan membawa keluar garam, potasium, kalsium dan sebagainya sehingga menyebabkan golongan pekerja akan lesu atau letih.
“Penyelesaian terbaik adalah mengambil makanan yang boleh menggantikan kehilangan mineral seperti buah kurma untuk berbuka puasa,” katanya.
Ujarnya, buah kurma mempunyai mineral dan pemanis semula jadi untuk memberi tenaga dengan segera.
“Selain itu, sekurang-kurangnya lapan gelas air perlu diminum selepas berbuka.
“Ini akan menggantikan kehilangan air yang besar pada waktu siang,” ujarnya.
Katanya, makanan berat boleh diambil selepas solat maghrib dan ketika badan sudah berasa segar.
“Sebahagian perut sudah terisi (dengan makanan ringan) kerana kita telah berbuka puasa,” ujarnya.
Bagi mengelakkan makan mengikut nafsu selepas berbuka puasa, pekerja muda boleh mengambil makanan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.
“Mereka boleh mengambil satu perempat karbohidrat. Karbohidrat ini (adalah) berasaskan nasi,” jelasnya.
Kuetiau, mi atau sumber-sumber karbohidrat lain juga boleh diambil.
Separuh lagi makanan adalah daripada sumber protein juga boleh diambil.
“Ayam, daging, ikan, telur dan sumber-sumber protein daripada makanan laut juga boleh diambil,” katanya.
Tambahnya, satu perempat lagi makanan ialah sayur-sayuran dan satu perempat lagi terdiri daripada buah-buahan.
Bagaimanapun, jika tiada sayur, buah-buahan boleh diambil sebanyak satu perdua atau sebaliknya.
“Pengambilan itu adalah bagi mengelak makanan diambil secara berlebihan,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, makan terlalu lewat malam akan menyebabkan sistem pencernaan tidak sempurna.
“Kita akan berasa kembung perut, pedih ulu hati dan sebagainya,” ujarnya.
Wan Rosli juga mencadangkan supaya tidak mengambil minuman berkafein kerana ia menyebabkan tubuh cenderung merembeskan air dengan kerap selain badan mengalami kekurangan air pada waktu siang.
Tambahnya, sahur terbaik adalah pada hampir waktu imsak, namun kurma perlu dimakan dalam bilangan ganjil bagi membekalkan zat mineral dan vitamin.















