fbpx
ABDUL MAJID menunjukkan parang Bajau yang dihasilkannya ketika ditemui di Kompleks Kraf Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seni estetika parang Bajau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AWALNYA dia hanya membantu datuk membuat parang tradisi kaum Bajau sebagai tukang pam angin, namun dalam diam tangannya juga gatal menukul besi-besi panas untuk membuat senjata itu.

Pam angin digunakan untuk menghidupkan api bagi pembuatan parang.

Melihat adanya minat ke arah pembuatan parang, Abdul Majid Halin, 64, kemudian diajar satu per satu cara untuk membuat parang tradisi dari Sabah itu oleh datuknya, bermula pisau biasa hingga parang tradisi yang penuh dengan ukiran di sarung dan bilah.

Menurutnya, apa yang membuat rasa cintanya semakin kuat terhadap seni pembuatan parang tradisi Sabah ini adalah kepuasan dirasai apabila setiap hasil buatan dibeli dan dihargai orang luar.

“Saya masih ingat semasa tahun 1970-an, parang pertama buatan saya dibeli pelancong warga asing. Ketika itu saya bukan sahaja gembira tetapi turut bangga kerana dapat berkongsi seni warisan kami dengan orang luar.

“Sejak itu, saya terus bersemangat untuk membuat lebih banyak parang tradisi dan meneruskan legasi datuk sebagai pembuat parang tradisi kaum Bajau di Kota Belud, Sabah,” katanya ketika ditemu bual K2 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Abdul Majid, seni pembuatan parang tradisi tersebut merupakan warisan turun-temurun yang juga merupakan satu industri pembuatan tempatan di kawasan Kota Belud termasuk kampungnya, Kampung Siasai Jaya yang popular dengan pembuatan parang tradisi itu.

Katanya lagi, ia juga dikenali sebagai perusahaan tradisional atau perusahaan perumahan yang dijalankan secara kecil-kecilan di rumah, mahupun kawasan berhampiran dengan melibatkan beberapa pengusaha.

Kongsi bapa kepada 26 cahaya mata itu lagi, produk kraf tangan parang Bajau merupakan produk warisan yang sememangnya mendapat sambutan baik bukan sahaja dalam pasaran tempatan, malah sehingga di peringkat antarabangsa.

Membezakan dengan parang-parang di negeri lain, parang Bajau mempunyai ciri-ciri dan ukiran tersendiri yang melambangkan budaya serta corak kehidupan suku kaum Bajau.

Sebagai contoh, pada setiap parang Bajau terdapat motif setimpak yang diukir pada hujung sarung dan hulu parang.

Kraf ini juga boleh didapati dalam bentuk pisau.

“Setimpak ialah alat perhiasan kepala yang dipakai oleh pengantin wanita semasa majlis bersanding suku kaum Bajau dan motif pada perhiasan itu turut menjadi ukiran pada sarung serta hulu parang tersebut.

“Selain itu, terdapat banyak motif dan ciri-ciri ukiran lain pada parang Bajau yang melambangkan keunikan suku kaum, antaranya motif alam semula jadi pada parang dan sarungnya,” ujarnya yang boleh menyiapkan sebilah parang dalam sehari bergantung jenis tempahan.

Terdapat pelbagai jenis parang tradisi Bajau seperti parang Bajau, barung, pidah, lada-lada, pedang Bajau, gayang, kegayaan, sabit Bajau, beladau, pais dan keris yang motifnya berasaskan Bajau Sama.

Jelasnya lagi, penghasilan sarung dan hulu parang juga menggunakan kayu-kayu daripada jenis yang terpilih sahaja.

Ini kerana, ia bergantung kepada jenis kayu yang menjadi permintaan di pasaran seperti penggunaan kayu malam dan rengas.

Kedua-dua kayu ini sering mendapat permintaan tinggi dan mempunyai keunikan pada urat kayu atau warna serta corak isi kayunya. Namun, terdapat juga penggunaan jenis kayu lain seperti kayu nangka, akasia, nyire dan beberapa jenis kayu lain.

Selain menggunakan kayu, terdapat juga parang Bajau yang menggunakan sumber lain untuk membuat hulu parang seperti tanduk rusa.

“Dalam pembuatan bilah parang pula, ia biasanya dihasilkan daripada besi-besi yang digunakan semula seperti besi spring kereta dan besi ‘bar chainsaw’ yang digunakan oleh suku kaum Bajau.

“Setiap parang Bajau yang dihasilkan miliki kegunaan dan fungsi masing-masing, misalnya lada-lada, beladau dan pidah atau barung digunakan untuk aktiviti penyembelihan haiwan korban.

“Sementara parang jenis badi rumput pula digunakan bagi kerja-kerja bahagian memotong tulang haiwan sembelihan, kayu yang keras dan ikan,” kongsinya yang menjual parang pada harga antara RM120 hingga ribuan ringgit mengikut jenis.

Katanya lagi, parang Bajau lain seperti beladau, gayang padang dan kegayaan digunakan pada zaman dahulu sebagai alat untuk mempertahankan diri dan berperang yang juga menjadi lambang kepada kekuatan si pemakainya.

Sebagai seni turun-temurun, minat terhadap pembuatan parang Bajau turut diwarisi oleh anak Abdul Majid iaitu Mohd. Ikmal Dzulmizan, 23.

Mula berjinak-jinak dalam pembuatan parang seawal usia 11 tahun, bapa kepada dua cahaya mata itu turut menjalankan perniagaan pembuatan parang Bajau sendiri secara sepenuh masa.

Menurut Mohd. Ikmal, dia memilih untuk meneruskan legasi seni tersebut kerana jatuh cinta dengan sejarah senjata tersebut yang melambangkan keunikan suku kaumnya.

“Sejak kecil, saya sudah melihat ayah membuat parang dan ia sedikit sebanyak mempengaruhi minat untuk turut sama belajar menghasilkannya.

“Ayah juga sering bercerita tentang sejarah parang Bajau setiap kali dia mengajar saya membuat parang meliputi bentuk dan ukiran pada bilah dan sarung,” katanya.

Kongsinya lagi, sebagai generasi muda dia juga amat menitikberatkan ciri-ciri tradisi dalam penghasilan parang selain menerapkan elemen moden.

Malah, dia turut mematuhi pantang larang dalam pembuatan parang seperti tidak boleh melangkah parang yang dibuat kerana dipercayai akan membuat ia tidak laku atau dibeli orang.

Meskipun Mohd. Ikmal bersemangat meneruskan legasi suku kaumnya, dia pada masa sama turut cakna dengan situasi yang mana tidak ramai generasi muda mempunyai minat sama.

Jelasnya, seni ini perlu diteruskan dan dimartabatkan bagi menarik lebih ramai golongan muda belajar mengenainya.

“Ketika ini tidak ramai golongan seusia saya yang menjalankan perniagaan membuat parang Bajau dan jika ini berterusan ditakuti ia akan tenggelam di arus zaman.

“Industri ini adalah platform yang boleh menjadi satu kerjaya buat golongan muda kerana ia mempunyai permintaan bukan hanya di dalam negara tetapi antarabangsa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN