fbpx
Pasar Kedai Payang di Kuala Terengganu. - GAMBAR HIASAN

Kekalkan identiti Pasar Besar Kedai Payang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENANTIAN hampir 1,000 peniaga Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu untuk memiliki kompleks perniagaan baharu bakal berakhir tidak lama lagi.

Kompleks baharu bernilai RM70.03 juta itu dijangka mula beroperasi selepas Aidilfitri.

Ia menggantikan premis lama yang uzur dan disahkan kurang selamat dalam satu pemeriksaan struktur pada tahun 2009.

Sebelum ini, peniaga Pasar Besar Kedai Payang beroperasi di premis sementara bersebelahan yang dikenali sebagai Pasar Payang 2 berikutan pembangunan semula pusat sehenti produk makanan, kraf tangan, seni dan warisan Terengganu terbabit pada tahun 2019.

Timbul polemik sewaktu penyerahan kompleks baharu tersebut kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 28 Februari lalu apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan Pasar Besar Kedai Payang dijenamakan sebagai Central Market @ Pasar Payang.

Secara dasar, niat beliau baik bagi meningkatkan lagi imej dan nilai komersial Pasar Besar Kedai Payang setaraf dengan Pasar Seni Kuala Lumpur.

Memang benar, Pasar Besar Kedai Payang kini terlalu bergantung kepada pengunjung domestik luar Terengganu, manakala kehadiran pelancong asing agak kurang.

Ia menyebabkan pusat sehenti itu sesak dengan pengunjung sehingga mencapai 5,000 sehari pada hujung minggu, cuti umum dan persekolahan. Begitupun, Pasar Besar Kedai Payang lengang pada hari biasa.

Sudah pasti cadangan itu kurang dipersetujui rakyat Terengganu seperti berlaku sewaktu idea penjenamaan semula Kampung Cina Kuala Terengganu sebagai Chinatown diutarakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris pada Oktober tahun lalu.

Razali mengakui penjenamaan semula Pasar Besar Kedai Payang sebagai Central Mall bukan mudah diterima masyarakat.

“Baiklah ia kekal sebagai Pasar Besar Kedai Payang dan ciri-ciri sedia ada yang kaya nilai kemelayuannya dan memiliki elemen Islamik diteruskan.

“Kerajaan Negeri Terengganu akan murnikan dengan aktiviti pelancongan, kesenian dan kebudayaan agar Pasar Besar Kedai Payang bagi menarik pelancong,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof menegaskan, apa yang penting identiti Pasar Besar Kedai Payang sebagai pusat sehenti dalam satu bumbung perlu dikekalkan.

Beliau berpendapat cadangan MBKT untuk memisahkan peniaga sedia ada kepada dua premis iaitu kompleks baru dikenali Pasar Payang 1 dan Pasar Payang 2 (premis sementara) berisiko dan tidak praktikal.

“Mewujudkan dua Pasar Payang seakan mengulangi idea gagal membuka Bazar Warisan kira-kira 14 tahun lalu kononnya untuk melengkapi Pasar Besar Kedai Payang, namun kini menjadi projek gajah putih ekoran kekurangan sambutan.

“Sehubungan itu, kami mahu terus berniaga dalam satu bumbung di dalam kompleks baharu seperti dijanjikan kerajaan negeri pada tahun 2019,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN