KUALA NERANG – Seorang peniaga di Bazar Ramadan Felda Lubuk Merbau, dekat sini menyediakan kira-kira 8,000 biji kuih pelbagai jenis sehari yang dijual pada harga RM1 bagi tujuh biji.
Menurut Roslina Saad, 55, dia bersyukur jualan di gerai Cucoq Semulut itu tetap laris walaupun harga bagi 15 jenis kuih di situ terpaksa dinaikkan berbanding tahun lalu.
Katanya, sejak memulakan perniagaan kira-kira 21 tahun lalu, kuih-muih dijual pada harga 10 sen sebiji.
“Harga barang sekarang naik mendadak, jadi saya terpaksa jual tujuh biji kuih pada harga RM1. Namun begitu, saya bersyukur kerana sambutan amat menggalakkan sama macam saya jual sebelum ini sebiji sekupang (10 sen).
“Pelanggan yang datang tidak mengeluh sebab harga masih murah bagi mereka dan boleh terima kenaikan itu,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, antara kuih yang dijual adalah buah melaka, karipap, lopes, ketayap dan pelbagai lagi.
Tambahnya, dia akan menurunkan harga kepada asal sekiranya kos bahan mentah itu kembali normal.
“Saya jual kuih ini untuk bantu golongan berpendapatan rendah menikmati pelbagai jenis kuih pada harga murah, selain sebagai amal jariah kepada penduduk di sini.
“Bukannya apa, saya kasihan kepada orang ramai sekarang ini yang mempunyai pendapatan tidak menentu, selain barang keperluan semakin mahal,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pembeli, Marhaidi Che Bashah, 53, berkata, jualan itu membolehkan penduduk merasa beraneka kuih pada harga RM1 bagi tujuh biji.
“Sudah tentu harga yang murah ini sangat membantu mengurangkan perbelanjaan penduduk terutama yang mempunyai pendapatan tidak tetap seperti penoreh getah, pekerja ladang kelapa sawit dan petani,” katanya.
Tambahnya, kuih-muih di gerai berkenaan sangat laris dan kebiasaannya hanya tinggal bekas kosong sahaja.














