KOTA BHARU – Jualan tiket sebuah syarikat bas ekspres sempena Hari Raya Aidilfitri dari ibu negara ke Kota Bharu sudah habis dijual dalam tempoh dua hari selepas penjualannya dibuka pada Selasa lalu.
Pengurus Operasi My Express dan Mayang Sari Group (Mayang Sari) Kota Bharu, Zaizul Hamad berkata, sebanyak 330 tiket habis dijual untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu sepanjang tempoh 7 hingga 9 April depan.
Menurutnya, bagaimanapun, jualan tiket untuk perjalanan dari Kota Bharu ke Lembah Klang pula dilihat tidak laku apabila banyak tempat duduk masih kosong dalam tempoh tersebut.
“Selain ke ibu negara, kita mempunyai sebanyak lebih 30 buah bas ekspres untuk perjalanan Kota Bharu-Johor Bahru, Kota Bharu-Melaka, Kota Bharu-Pontian, dan Kota Bharu-Kuala Terengganu.
“Tiada sebarang kenaikan harga tiket meskipun permintaan terhadap perkhidmatan bas ekspres tinggi semasa musim perayaan. Sebaliknya, kami memberi potongan harga perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu daripada RM46 hingga RM40,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Ujar Zaizul, harga tiket dari Kota Bharu ke Nilai, Negeri Sembilan berharga RM50, Kajang (RM45) dan Johor Bahru (RM68).
Katanya, pihak pengurusan bas ekspres tidak akan menaikkan harga tiket kerana tidak mahu membebankan perantau yang akan pulang untuk menyambut Aidilfitri.
“Tiket-tiket bagi perjalanan untuk pulang sempena lebaran bermula 4 April hingga ke malam raya.
“Kali ini, penumpang dilihat memilih untuk membeli tiket bas mereka secara dalam talian sebagai langkah mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter syarikat bas ekspres,” ujarnya.
Di Johor Bahru, harga tiket bas ekspres seminggu menjelang Aidilfitri dari Johor Bahru ke negeri Pantai Timur didapati naik sehingga antara 10 sehingga 20 peratus.
Tinjauan di platform jualan tiket dalam talian mendapati harga tiket yang dijual pada tarikh sebelum 4 April dijual pada harga antara RM26 sehingga RM67 untuk kesemua destinasi Pantai Timur.
Selain itu, harga untuk tarikh selepas 4 April dijual meningkat sehingga 20 peratus iaitu harga dijual bermula RM33 sehingga RM87.
Sehingga semalam tiket ke kesemua destinasi masih ada yang dijual.
Seorang wanita yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura, Rosnah Ismail, 50, berkata, dia telah menempah tiket sejak seminggu lalu untuk pulang ke kampung di Kota Bahru pada 8 April dengan harga RM87 sehala.
“Kalau hari biasa tiket ke Kota Bahru antara RM52 sehingga RM67 tetapi dekat raya harga sampai RM87.
“Terpaksa beli sebab saya seorang sahaja balik, anak-anak yang lain balik awal dengan kereta, saya dapat cuti tahun ini empat hari sahaja jadi beli tiket seorang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Seorang suri rumah, Siti Noor Asiah Muda, 35, berkata, dia sudah menempah tiket untuk pulang ke Kuala Terengganu semalam dengan harga RM54 sehala.
Katanya, pada hari biasa harga tiket ke Kuala Terengganu antara RM38 sehingga RM52.
“Harga setiap syarikat bas berlainan, bila buat semakan didapati harga meningkat sehingga 10 peratus daripada hari-hari biasa.
“Sebelum ini kalau balik ke kampung naik bas harga tiket RM48 tapi dekat raya ini harga meningkat jadi RM54,” katanya.
Ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu, dia terpaksa pulang menaiki bas dengan anaknya yang berusia dua tahun kerana suaminya tidak dapat cuti pada Aidilfitri nanti.













