PETALING JAYA – Biarpun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tamat minggu lalu, namun ada segelintir remaja yang sudah membuat kerja sambilan sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Seramai 403,637 calon menduduki peperiksaan itu di seluruh negara yang tamat minggu lalu.
Di George Town. seorang lepasan SPM, Muhammad Aqil Razi, 18, berkata, dia bekerja sebagai pembantu gerai nasi campur selepas tamat peperiksaan bagi meringankan beban kedua-dua ibu bapanya yang turut menanggung tiga lagi adik yang masih bersekolah.
“Alhamdulillah, tidak sukar mencari pekerjaan secara sambilan di kawasan ini. Saya mendapat upah sebanyak RM40 sehari.
“Sekurang-kurangnya dengan wang itu saya tidak lagi bergantung perbelanjaan dengan ibu bapa,” katanya ketika ditemui semalam.
Seorang lagi remaja, Muhammad Asih Kamal, 18, memberitahu, dia bekerja di sebuah gerai bagi menghantar makanan dengan upah RM30 sehari sejak minggu lalu.
“Ramai kawan-kawan masih tidak bekerja ketika ini. Lagipun ada yang baru selesai SPM.
“Mujur ada majikan yang memerlukan khidmat saya sebagai penghanpenghantartar makanan. Tambahan pula saya memiliki lesen memandu,” ujarnya.
Di Johor Bahru, Mohd. Saiful Daniel Helmizi, 18, berkata, dia bekerja sambilan sebagai pembantu jualan di gerai minuman kerana mahu mencari pengalaman selain mendapatkan duit poket sendiri.
Jelas remaja tersebut, sebelum itu, dia cuba memohon pekerjaan di dua buah restoran makanan segera berdekatan rumah keluarga di Bandar Dato Onn di sini, namun dimaklumkan tiada kekosongan.
Di Kuala Terengganu, Nurul Fatihah Mohd. Azmi, 18, memaklumkan, dia melakukan kerja sampingan bagi membantu ibu bapanya mengumpul wang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Saya ambil keputusan membantu ibu saudara dengan menyiapkan tempahan kuih raya sepanjang bulan Ramadan ini.
“Alhamdulillah masih ada kerja yang boleh dilakukan, asalkan dapat upah daripada duduk tanpa buat apa-apa di rumah,” katanya.
Bagi Muhammad Amirullah Fahmi Abdul Ghapur, 18, pula, dia bercadang untuk mencari kerja sambilan di resort pulau peranginan seperti Pulau Redang dan Pulau Kapas selepas sambutan Aidilfitri ini.
“Pulau peranginan banyak menawarkan peluang kerja sambilan yang bukan sahaja berbaloi, malah beri pengalaman berharga sebelum saya melanjutkan pelajaran ke univerisiti sekiranya ada rezeki kelak,” katanya.














