MESKIPUN pernah kehilangan tempat bergantung selepas gagal dalam perkahwinan terdahulu, namun itu bukan penghalang untuk seorang wanita bangkit.
Rejamaiyah Hassan yang berasal dari Felda Serting, Jempol, Negeri Sembilan, berkata, berbekalkan pengalaman menjahit baju korporat, dia dapat menyara empat orang anaknya.
Menurutnya, bermula daripada menjahit, dia kemudian memberanikan diri membina perniagaan sendiri iaitu ‘Sewa Baju Murah Deja’ yang menyediakan khidmat menyewa pakaian untuk majlis keraian.
Katanya, semua pakaian yang terdapat di kedainya dijahit dan direka sendiri selepas membeli kain daripada pembekal tempatan.
“Selepas kegagalan berumah tangga, saya bangkit dan berhijrah ke Melaka untuk berdikari membesarkan anak-anak.
“Dengan wang simpanan yang ada, saya gunakan sebagai modal permulaan untuk membeli kain dan menghasilkan 100 helai pakaian pelbagai warna,” katanya.
Jelas Rejamaiyah, sebelum itu dia pernah mencari pekerjaan lain, namun sukar kerana hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan tiada bakat lain selain mempunyai kemahiran menjahit.

Ujar wanita berusia 40 tahun itu, perkhidmatan sewaan pakaian yang diusahakan sejak lima tahun lalu semakin mendapat sambutan.
Pada hari ini, dia berjaya mempunyai lebih 500 pasang pakaian koleksi sendiri seperti busana pengantin dan kimono.
Katanya, biarpun hanya beroperasi di rumah, namun dia tetap bersyukur perniagaan itu turut dibantu suami dan empat anaknya berusia antara 10 hingga 22 tahun.
“Apa yang penting, harga sewa pakaian yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu antara RM60 hingga RM300.
“Namun, ia bergantung kepada jenis pakaian dan aksesori diperlukan bermula daripada topi hingga kasut.
“Kita berusaha berikan harga yang murah, namun mementingkan kualiti,” katanya.
Dia berharap, perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan di depan rumahnya di Bukit Katil, Melaka itu terus berkekalan dan diterima ramai.
Rejamaiyah turut merancang untuk mempelbagaikan lagi koleksi pakaian termasuk baju pengantin pada masa akan datang.














