fbpx
Gambar hiasan

Peniaga, tolonglah jujur di bulan puasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Minggu depan umat Islam di seluruh dunia akan mula menjalani ibadah puasa.

Berpuasa bukan hanya setakat menahan diri daripada lapar dan dahaga, bahkan Ramadan adalah bulan istimewa dalam kalendar Islam, bulan yang paling dinanti-nantikan oleh mereka yang mahu merebut peluang untuk menambahkan amal ibadat dan mengumpul pahala.

Di negara kita, bulan puasa tidak lengkap andai tiada bazar Ramadan. Walaupun belum mula berpuasa, sudah ada yang merancang untuk ke bazar Ramadan membeli ‘juadah wajib’ pada bulan puasa.

Biarpun kos sara hidup meningkat dan harga barangan naik saban tahun, namun bazar Ramadan tidak pernah sepi daripada dikunjungi orang ramai tanpa mengira kaum dan agama.

Malah, penganut agama lain juga tidak sabar menunggu kemeriahan bazar Ramadan.

Pada setiap tahun juga pasti ada sahaja idea-idea kreatif sama ada tagline ataupun nama makanan digunakan oleh peniaga untuk melariskan jualan masing-masing.

Menu kategori ‘biasa-biasa’ pun jika dipromosikan dengan bijak dan rasanya sedap silap haribulan beratur panjang pengunjung hendak membelinya. Itulah kuasa viral dan media sosial pada hari ini.

Di Lembah Klang, bazar Ramadan sentiasa meriah walaupun penularan Covid-19 masih belum pulih beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi mereka yang bekerja terutama golongan wanita, bazar Ramadan sudah tentu menjadi pilihan buat mereka untuk membeli juadah berbuka.

Setelah penat bekerja dan meredah kesesakan, sudah pasti mereka memilih juadah yang sudah siap untuk dimakan sebagai juadah berbuka puasa.

Walaupun ada dalam kalangan kita yang mempunyai pilihan untuk memasak dan memanaskan di rumah, masih ada yang pergi ke bazar Ramadan.

Niat asal hanya untuk mencuci mata, namun lain pula jadinya apabila sudah rambang mata melihat aneka kuih-muih dan lauk-pauk.

Cuma yang tidak enak apabila ada cerita atau perkongsian pembeli yang mengadu juadah dibeli ‘indah khabar dari rupa’. Masalah sama berlaku setiap tahun.

Jika aduan makanan tidak sedap, saya anggap ia masih boleh dikompromi kerana sedap atau tidak bergantung kepada tekak masing-masing, namun jangan sampai menjual makanan basi dan busuk.

Kita sebagai pembeli masih boleh bertolak ansur jika juadah yang dibeli itu sedap dan berkualiti walaupun harganya tinggi sedikit. Pengguna sekarang sudah bijak menilai, mereka tidak berkira jika makanan tersebut menepati selera.

Cuma pada tahun ini lebih tepat bulan ini ramai yang ternanti harga makanan dan minuman di bazar Ramadan biarpun sektor itu tidak terlibat dalam senarai kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan pada 1 Mac lalu.

Kepada peniaga, lakukan urus niaga secara jujur. Pelanggan berhempas-pulas mencari wang, bukan untuk menjamah makanan basi dan berulat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN