fbpx
Sentuhan halus ayat al-Quran menghiasi Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak.

Yayasan Restu tonjol keindahan zukhruf mushaf al-Quran dalam pelbagai projek pembinaan ikonik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Salah sebuah projek yang dibina oleh Yayasan Restu adalah Kompleks Nasyrul Quran yang mana ia adalah sebuah pusat percetakan al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Pusat Percetakan Al-Quran Al Malik Fahd di Madinah.

Premis yang terletak di Putrajaya itu memiliki seni bina dan rekaan dalaman yang cukup unik bersesuaian dengan fungsinya sebagai salah satu pusat keseniaan Islam dan menjadi destinasi pelancongan tempatan dan luar negara.

Yayasan Restu memiliki pengalaman yang meluas dan rekod yang baik dalam bidang pembinaan melalui reka bentuk dalaman (ID) yang disokong oleh kumpulan yang besar meliputi dari semua aspek sehingga membolehkan ia membangunkan pelbagai projek khususnya masjid ikonik di negara ini.

Antara yang terkenal adalah Masjid Al-Badr atau lebih dikenali sebagai Masjid Seribu Selawat, Masjid Cina atau nama sebenarnya Masjid Al-Khairiah, kedua-duanya di Pulau Pangkor dan juga Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak.

Pemegang Amanah  yang mengetuai bidang pembinaan Yayasan Restu, Shafizal Hameed berkata, ini adalah salah satu cara pihaknya berdakwah agar masyarakat suka melihat dan membaca al-Quran seterusnya menghayati erti kandungan di dalam al-Quran dalam kehidupan masing-masing.

 

“Semua projek tersebut, kami yang buat sendiri dan dari situ bolehlah kami dapat margin yang baik, kami kami menawarkan kajian dan pembangunan (R&D) yang bernilai tinggi.

“Sebab proses melaksanakan projek dan falsafah di sebalik projek tersebut adalah sebahagian daripada dakwah kami, jika projek itu tidak memberi keuntungan tetapi ia dibuat semata-mata kerana Allah dan Dialah yang membantu kami selama ini,” katanya ketika ditemui di baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang kaitan Yayasan Restu dengan cabang perniagaan berkaitan pembinaan?
Shafizal: Kekuatan kami terletak pada kajian dan pembangunan (R&D) yang dijalankan yang mana pada awal tahun 1990-an kami adalah perintis bagi usaha menyalin mushaf al-Quran supaya ia terus terpelihara dan tidak pupus, kemudian kami buat kajian mendalam dengan mencipta rekaan elemen yang bercirikan identiti tempatan di sesebuah kawasan dan diterapkan di dalam al-Quran, kami kaji motif, geometrikal de­ngan mengambil konsep flora dan tumbuh-tumbuhan, sebagai contoh, konsep padi yang terkenal di Kedah dan nanas di Johor.

Kami masukkan elemen tersebut di dalam al-Quran dengan warna yang menarik agar ia dapat ditunjuk kepada masyarakat sama ada kepada golongan Islam dan bukan Islam agar mereka akan melihat dan membaca seterus­nya lebih dekat kepada al Quran. Di situlah antara kerja dakwah kami kepada masyarakat

Selepas 20 tahun, kami mula mengambil pendekatan lebih berani dengan terlibat dalam projek pembinaan khusus kepada seni bina Islam iaitu dengan melakukan kerja-kerja kemasan bangunan, rumah persendirian, hotel dan masjid.

Kami terlibat daripada sekecil-kecil projek membina masjid termasuklah membuat pengubahsuaian serta naik taraf hinggalah projek membina masjid ikonik yang memiliki ciri-ciri unik dan khusus sehingga siap sepenuhnya.

Sejak bila terbabit dalam bidang pembinaan dan apakah projek sulung dan antara masjid yang telah berjaya dibina oleh Yayasan Restu?
Sejak tahun 2000 projek pertama kami adalah membina sebuah masjid di Mak Mandin, Butterworth, Pulau Pinang dan antara projek lain adalah Masjid Al-Badr atau lebih dikenali sebagai Masjid Seribu Selawat yang dihias dengan kaligrafi khat tulisan 1,000 selawat dan Masjid Cina atau nama sebenarnya Masjid Al-Khairiah yang menggunakan pola dan menggabungkan unsur ketimuran dari China dan juga identiti negeri Perak.

Kami juga terlibat dengan projek pembinaan sepenuhnya untuk Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk, Perak.

Adakah semua projek tersebut dibina sepenuhnya oleh Yayasan Restu?
Ya, kami melaksanakan segalanya bermula dari A sehingga siap sepenuhnya dan di­serahkan kepada pemilik.

Kami memiliki kumpulan yang cukup lengkap dari setiap jabatan bermula dari membuat rekaan, perundingan, kaligrafi, R&D yang melibatkan pembangunan rekaan, motif, pewarnaan yang dibuat secara manual dan disalin ke dalam komputer, pemasangan dan kerja-kerja pembinaan masjid.

Selalunya kami akan berbincang dengan pemilik projek me­ngenai konsep dan motif sesebuah bangunan tersebut.

Berapa banyak masjid dan bangunan lain yang telah dibina?
Kami telah mengubah suai lebih 300 masjid dan kami juga terlibat projek membina mahkamah, Hotel Mudzaffar di Melaka dan juga rumah persendirian.

Berapa kos projek yang pernah dibuat dan yang paling mahal?
Daripada sekecil-kecil projek yang mungkin sekadar RM10,000 hinggalah kepada projek bernilai jutaan ringgit seperti Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk.

Adakah bidang ini menyumbang pendapatan yang baik kepada yayasan?
Cabang perniagaan ini sememangnya memberi sumbangan yang banyak kepada yayasan, pengoperasian kami sebenarnya bukan berteraskan keuntungan, tetapi dengan R&D dalam rekaan dalaman, kami ada kekuatan dalam bidang tersebut.

Kami akan dapat margin yang lebih kerana semua kerja-kerja pembinaan dilakukan sendiri dan tidak ditawarkan kepada pihak lain, sebab itu kos kami lebih murah.

Jika pemain lain yang membuat ID secara komersial mereka boleh ambil apa saja tema dan konsep disukai tetapi kami ada idea tersendiri yang lebih unik dan spesifik.

Biasanya kami akan bekerja dan berbincang de­ngan pemilik projek untuk menjayakannya. Sebab itulah masjid ikonik yang kami bina miliki konsepnya tersendiri agar bersesuaian de­ngan masyarakat di kawasan berkenaan.

Bagaima­napun secara keseluruhannya, pemilik projek tersebut akan mendapat manfaat dari segi nilai yang berkualiti dan terbaik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN