PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan isu masalah pembekalan dos vaksin oleh syarikat farmaseutikal Pfizer sebagaimana yang dilaporkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) masih belum menerima sebarang dokumen daripada syarikat tersebut untuk penilaian pendaftaran dan pengujian produk vaksin Covid-19.
“Bagaimanapun, KKM akan sentiasa memantau perkembangan produk vaksin Covid-19 oleh Pfizer dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian memberi maklum balas terhadap pertanyaan orang awam susulan laporan agensi media antarabangsa Reuters bertarikh 4 Disember bertajuk “Pfizer says supply chain challenges contributed to slashed target for COVID-19 vaccine doses in 2020”.
Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, menjadi tanggungjawab NPRA untuk memastikan sebelum sesuatu produk didaftarkan untuk dipasarkan di Malaysia, ia perlu terlebih dahulu melalui proses penilaian dan pengujian.
Ujarnya, penilaian dan pengujian tersebut berasaskan prinsip-prinsip kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
“NPRA juga memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin serta ubat-ubatan yang berdaftar sentiasa terjamin melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans.
“Pihak KKM akan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya. – K! ONLINE














