fbpx
MAZDA CX-5 2024 yang dipertingkat mempunyai bahagian depan yang direka bentuk semula dengan rim rekaan baharu bersaiz 19 inci.

Mazda CX-5 varian diesel ‘pilihan berbeza’ SUV segmen C

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MAZDA CX-5 pertama kali dipertonton kepada umum sebagai sebuah kenderaan konsep pada tahun 2011 di Pameran Motor Geneva, Switzerland dengan menampilkan rekaan Kodo dan teknologi Skyactiv pada model tersebut.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C itu memulakan produksinya pada tahun 2012 dengan menawarkan dua pilihan enjin iaitu Skyactiv-G 2.0 Petrol dan Skyactiv-D 2.2 Diesel.

Di Malaysia, Mazda CX-5 generasi pertama yang diimport sepenuhnya (CBU) dilancarkan pada bulan Mei 2012. Disebabkan permintaannya mengagumkan, setahun selepas itu model tersebut dipasang di negara ini.

Bagi tahun ini, Mazda CX-5 generasi ketiga yang dipertingkat telah diperkenalkan.

Baru-baru ini penulis telah dipelawa untuk memandu uji Mazda CX-5 baharu itu selama 21 hari. Varian yang diberikan ialah 2.2D High yang menggunakan enjin diesel dengan pacuan dua roda.

Penulis difahamkan, Mazda CX-5 2024 ini hadir dengan gaya, teknologi dan beberapa ciri baharu bagi meningkatkan prestasi pemanduan serta keselamatan.

Mazda CX-5 baharu menekankan rasa canggih di samping keanggunan estetika Jepun yang diperhalusi dengan intipati falsafah reka bentuk Kodo – Soul of Motion.

Jenama itu percaya bahawa kenderaan direka mampu untuk membangkitkan tindak balas emosi yang menggerakkan anda sebagai pengguna, seperti juga karya seni yang membawa seni kepada kehidupan.

RUANGAN dalaman yang tampak elegan.

Luarannya memfokus pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan itu yang direka bentuk semula sepenuhnya dengan menampilkan elemen tiga dimensi dengan gril hadapannya diletakkan di atas bampar bawah. Sayap signatur tersendiri yang memanjang ke luar dari gril turut digayakan semula.

Lampu hadapan dan belakang signatur LED juga telah direka bentuk semula untuk memberikan kesan yang berani dan tegas pada bahagian luar untuk menyerlahkan lebarnya SUV ini.

Kedua-dua reka bentuk hadapan dan belakang menampilkan empat lampu LED bujur, dua pada setiap sisi yang membayangkan keagresifan dan prestasi yang lebih besar sambil menekankan pendirian CX-5.

Selain itu, CX-5 ini juga menggunakan rim rekaan baharu bersaiz 19 inci dengan tayar 225/55.

Model yang penulis pandu uji ini menggunakan enjin Skyactiv-D 2.2 liter dan transmisi Skyactiv-Drive enam kelajuan automatik dengan mod manual. Kombinasi itu mampu hasilkan kuasa maksimum 188hp pada 4,500rpm dan tork tertinggi 450Nm ketika 2,000rpm.

Menggunakan enjin diesel, untuk satu tangki penuh bersaiz 56 liter, ia mampu bergerak sejauh 600 kilometer.

REKA bentuk belakang Mazda CX-5 terkini.

Masuk ke ruang kabin, antara ciri menarik yang ada pada model ini seperti pengecas tanpa wayar, ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar, paddle shifter dan tempat duduk memori.

Penggunaan warna gelap dan kombinasi tempat duduk kulit di samping penggunaan material soft touch menaikkan rasa premium.

Penghawa dingin di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan juga memberikan keselesaan tambahan terutama ketika waktu panas.

Ciri-ciri keselamatan ditawarkan pula seperti, i-Activsense Advanced Driver Assist Safety, Smart Brake Support (SBS) dan Mazda Radar Cruise Control (MRCC)

Kesimpulannya, SUV ini merupakan pilihan kepada pengguna selain model pesaing terdekatnya dalam SUV segmen C seperti Honda CR-V, Toyota Corolla Cross, Nissan X-Trail dan Proton X70.

Penulis melihat CX-5 menawarkan sedikit kelainan untuk mereka yang inginkan suatu yang berbeza. Dari segi pemanduan, torknya cukup baik.

Kelebihan menggunakan enjin diesel ialah kenderaan itu mampu menghasilkan tork yang tinggi. Enjin diesel sememangnya sesuai untuk pikap, MPV dan SUV yang besar.

Daripada senarai pesaing dalam segmen C SUV itu, ini merupakan satu-satunya yang menggunakan enjin diesel

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN