fbpx
ADZHAR (kiri) berada di tempat tarikan VR Light Art Kisah Perjalanan Nabi SAW.

Selami kisah nabi melalui inovasi VR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIRAH Rasulullah SAW ialah biografi tentang kekasih Allah SWT yang menjadi junjungan umat manusia dan rujukan bagi mengenali Baginda.

Kisah itu bukan sahaja telah diceritakan sejak turun-temurun, malah dibukukan buat tatapan umat Islam di seluruh dunia.

Menerusi manfaat teknologi, sirah Rasulullah dan kisah-kisah nabi serta rasul turut divisualkan dalam bentuk realiti maya (VR).

Ia bagi memberi pengalaman baharu buat orang ramai mendalaminya.

Bagi memberi rakyat Malaysia merasai sendiri teknologi tersebut, Malakat Mall membawakan VR Light Art Kisah Perjalanan Nabi SAW di Cyberjaya, Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Mall, Adzhar Mohd. Noor berkata, idea untuk membawakan teknologi VR sebagai salah satu tarikan di pusat beli-belah itu bermula sejak Ramadan tahun lalu.

“Penemuan VR ini sebenarnya berawal semasa perancangan membuka muzium Mekah dan Madinah di Malakat Mall.

“Pada awalnya, kami mencari teknologi yang bakal menjadi tarikan di muzium.

“Dalam pencarian itu, tanpa disangka kami berjumpa dengan sebuah syarikat yang menjual set VR dengan kandungan kisah-kisah nabi,” katanya ketika ditemui Infiniti di Malakat Mall, Cyberjaya baru-baru ini.

Tambahnya, ketika pertama kali melihat peralatan tersebut, dia mencubanya sendiri dan terus tertarik untuk membawakan teknologi itu ke Malakat Mall.

SALAH seorang pengunjung merasai pengalaman mendalami kisah nabi menerusi teknologi VR yang ditawarkan oleh sebuah syarikat dari Amerika Syarikat.

Kongsinya lagi, VR Light Art Kisah Perjalanan Nabi SAW tersebut merupakan inovasi daripada sebuah syarikat dari Amerika Syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi.

Kerjasama itu merupakan salah satu langkah bagi penghasilan video VR kisah nabi dengan cerita yang sahih dan mengikut syarak ditetapkan.

Di Malakat Mall terdapat empat set VR dengan lima koleksi kisah nabi iaitu, Hijrah (kisah penghijrahan nabi), Mawlid (kisah perang gajah), Mekah, Israk dan Mikraj serta kisah Nabi Musa.

“Dari masa ke masa, koleksi ini akan bertambah mengikut produksi pihak pengeluar dan semua kisah berdurasi antara 9 hingga 11 minit.

“Menonton sendiri VR kisah nabi ini merupakan satu pengalaman baharu, malah ia juga yang pertama di Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya lagi, VR kisah nabi dibuka kepada orang awam setiap hari di Malakat Mall dengan harga RM35 untuk setiap satu tayangan.

Katanya, set itu menggunakan sepenuhnya sambungan internet tanpa wayar (Wi-Fi) yang mana setiap tayangan dipancarkan terus daripada syarikat pengeluar.

Kongsinya, pengguna bukan sahaja dapat melihat paparan visual tiga dimensi (3D), malah bau-bauan yang sinonim dengan Rasulullah dan pergerakan seiring dengan perjalanan cerita dapat dilihat.

Tidak hanya itu, dalam setiap cerita terdapat babak istimewa yang dipaparkan.

Antaranya dalam kisah Hijrah, penonton dapat melihat sendiri keadaan sebenar bahagian dalam makam Rasulullah.

“Setiap kisah membawa penonton menjadi sebahagian dalam babak penceritaan.

“Bagi yang pernah ke Mekah dan Madinah, mereka dapat menggamit memori menerusi pengalaman VR ini.

“Menonton kisah nabi dalam bentuk VR merupakan satu pendekatan baharu untuk menyampaikan sirah nabi kepada umat Islam terutama generasi muda mencubanya. Malah, ia dapat mengusik hati nurani insan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN