fbpx
Sebahagian pelancong yang mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu semalam.

Hotel Terengganu penuh pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Ramai pelancong menyerbu Terengganu apabila permintaan terhadap penginapan bilik hotel di Terengganu meningkat secara mendadak sehingga 80 peratus pada musim perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti persekolahan.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu, Suaibah Harun berkata, kebiasaannya kadar penginapan di 36 hotel di negeri ini pada hari biasa cuma 50 peratus sahaja.

“Keyakinan pelancong untuk mengunjungi Terengganu mula meningkat ekoran cuaca yang semakin baik pada penghujung Monsun Timur Laut (MTL) ini.

“Kebetulan musim perayaan Tahun Baru China ini jatuh se­rentak dengan cuti penggal akhir persekolahan yang menyebabkan ramai keluar melancong,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurutnya, pe­ningkatan kehadiran pelancong di negeri itu biarpun rangkaian pulau peranginan masih belum dibuka adalah indikator positif buat industri pelancongan Terengganu.

Katanya, ia merancakkan semula sektor pelancongan negeri ini yang sebelum ini agak suram sepanjang musim tengkujuh bermula Oktober tahun lalu.

“Selain berlibur, ramai juga menginap hotel untuk menghadiri majlis perkahwinan dan pertunangan ahli keluarga atau kenalan serta menyertai hari keluarga,” ujarnya.

Seorang pelancong, Nurul Huda Abdul Aziz, 38, berkata, dia bersama keluarga mengunjungi Terengganu untuk menghadiri kenduri perkahwinan sepupunya di Besut.

Kakitangan swasta berasal dari Seri Kembangan, Selangor tersebut berkata, dua daripada empat hari dikunjungi dihabiskan dengan melawat lokasi pelancongan popular di bandar raya ini dan Kuala Nerus.

“Kami menikmati sotong celup tepung di kedai popular di Mengabang Telipot, Kuala Nerus sebelum melawat Taman Tamadun Islam di sini.

“Saya juga ambil kesempatan membeli barangan kemas rekaan terbaharu di Pasar Besar Kedai Payang sebelum membawa anak-anak melihat proses pembuatan bot tradisional di Pulau Duyong di sini,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di beberapa lokasi tumpuan pelancong se­perti Pasar Besar Kedai Payang dan Pantai Batu Burok di sini; Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Kuala Nerus; Pantai Kelulut, Marang dan Pantai Penarik, Setiu pula mendapati sesak dengan pelancong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN