fbpx
GAMBAR HIASAN

Siapkan fizikal, mental sebelum tawan gunung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DUNIA pendakian tempatan berduka susulan kematian seorang pendaki wanita ketika melakukan aktiviti menawan Gunung Tahan baru-baru ini.

Kejadian menyayat hati itu turut tular di media sosial dan menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan pencinta aktiviti pendakian.

Pelbagai kisah diceritakan, bermula dari operasi menyelamat yang berdepan seribu satu cabaran sehinggalah kepada pengorbanan rakan-rakan pendaki dan malim gunung yang berjuang atas nama kemanusiaan.

Hakikatnya, kisah kematian ketika pendakian di gunung bukanlah perkara baharu. Mungkin Malaysia tidak memiliki bentuk gunung ekstrem seperti mana yang terdapat di Nepal (bersalji) dan Indonesia (gunung berapi), namun risikonya tetap ada.

Malah, kisah-kisah kematian ketika pendakian yang direkodkan di Malaysia banyak melibatkan kawasan berbukit yang ketinggiannya tidak pun mencapai 1,000 meter.

Ini bermakna kecederaan mahupun kematian itu boleh berlaku di mana sahaja.

Tidak kira ia pendakian yang dikategorikan sebagai mencabar yang memerlukan tempoh masa selama seminggu, ataupun pendakian santai yang boleh diselesaikan hanya dalam masa dua jam.

Banyak sebenarnya faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan ketika aktiviti pendakian.

Berdasarkan kejadian-kejadian sebelum ini, isu kesihatan seperti sesak nafas dan kemalangan (jatuh, lemas, tergelincir) dikenal pasti sebagai antara punca yang menyebabkan si pendaki mengalami kecederaan ataupun kematian.

Atas sebab itu juga, ada penganjur yang membuka trip pendakian kepada orang ramai meletakkan beberapa syarat tambahan kepada pesertanya sebelum mereka boleh menyertai aktiviti itu.

Antara yang ditekankan adalah soal persiapan. Ia bukan hanya melibatkan persiapan seperti barang keperluan (kasut, baju, beg), tetapi lebih penting daripada itu adalah berkaitan kondisi fizikal dan mental pendaki.

Persiapkan diri sebaiknya kerana pendakian itu seratus peratus memerlukan kudrat dan tenaga manusia sebagai asas untuk sampai ke puncak. Setiap pendaki juga perlu memahami jalur dan tahap kesukaran semua gunung atau bukit yang ingin didaki.

Sesuatu yang mungkin kita terlupa adalah mengenai tahap kesihatan. Sebaik-baiknya, mereka yang ingin melakukan aktiviti di hutan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu.

Ini penting bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini termasuklah isu sesak nafas dan serangan jantung. Diakhirnya, kita hanya merancang, berusaha dan berdoa, selainnya kita serahkan kepada Allah.

Pendaki legenda, Sir Edmund Hillary juga ada berkata, “Kita tidak akan pernah mampu menaklukkan gunung, kerana bukan gunung yang kita takluk, melainkan diri kita sendiri.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN