REMBAU – Cubaan empat lelaki bertopeng melarikan barangan berharga selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Pilin di sini, semalam, gagal apabila mereka dikejar penghuni kediaman itu.
Mohd. Akmal Isfak Ahmad, 27, berkata, dia telah mengejar penyamun terbabit yang lari ke arah masjid lama sejauh 100 meter dari rumah selepas beg ibunya yang berisi barang berharga dilarikan penyamun dalam kejadian pada pukul 5.15 pagi.
“Saya kejar penyamun selepas mereka melarikan diri dan abang ipar saya pula menyusul di belakang. Apabila nampak seorang penyamun nak panjat pagar masjid, saya rentap tarik ke bawah dan rampas beg ibu.
“Berlaku pergelutan antara kami, penyamun gigit jari saya dan saya terus gigit bahu penyamun. Penyamun kemudian ugut nak tembak saya dan saya kemudian melarikan diri,” katanya ketika ditemui di Kampung Pilin, di sini semalam.
Terdahulu ketika kejadian katanya, mereka sedang tidur sebelum lehernya dan ibunya diacu pisau oleh penyamun.
Katanya, penjenayah terbabit memberi amaran kepadanya supaya tidak membuat bising jika tidak mahu dibunuh.
“Abang ipar saya kemudian menyerbu penyamun dan berlaku pergelutan sebelum penyamun terbabit melarikan diri,” ujarnya.
Sebelum memecah masuk rumah Mohd. Akmal, penyamun terbabit turut menyamun sebuah rumah yang dihuni enam sekeluarga sekitar pukul 3.30 pagi semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kejadian itu.
















