JENAMA kenderaan dari Korea Selatan kini boleh dikatakan sudah sampai ke satu penanda aras dan berjaya keluar daripada persepsi ‘boleh pakai ke?’.
Kejayaan mereka bukan sahaja dalam menghasilkan kenderaan dengan kualiti yang baik, namun dalam masa sama memberikan ‘rasa’ yang tersendiri.
‘Rasa’ terbahagi kepada dua, satu dari aspek pemanduan, iaitu adakah ia menyeronokkan atau membosankan? ‘Rasa’ kedua pula adalah perasaan apabila kita memasuki ruang kabinnya, adakah mengagumkan atau sebaliknya.
Jenama dari Korea Selatan yang penulis sentiasa teruja untuk memandu ujinya ialah Kia. Kia yang sekarang bukan Kia yang dahulu.
Kia bukan sahaja berjaya menghasilkan kenderaan dengan rekaan yang menarik tetapi juga menawarkan pemanduan yang tidak mengecewakan.
Baru-baru ini penulis memandu uji model kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk, Carnival 7-seater High selepas setahun memandu uji varian 8-seater High.
Perbezaan paling ketara ialah tempat duduk barisan keduanya jenis premium dengan perehat kaki untuk keselesaan penumpang.
Tempat duduk jenis ini sangat memberi keselesaan kepada penumpang di barisan kedua. Ia sangat sesuai untuk dijadikan kenderaan bagi ‘bos-bos’.

Rasanya tidak banyak MPV yang menawarkan ciri-ciri seperti ini di Malaysia.
Antara yang ada seperti Lexus LM350, Toyota Alphard Executive Lounge dan Hyundai Staria (7 Seater) yang lebih mahal harganya daripada model ini.
Bagi Carnival 7-seater ini hanya tempat duduk pemandu yang dilengkapi Driver Memory Seat.
Tidak salah rasanya kalau penulis katakan ruang dalam Kia Carnival ini nampak mewah dengan kombinasi warna cerah dan gelap.
Konfigurasi tempat duduk boleh ubah juga membolehkan MPV ini menawarkan ruang penyimpanan barang yang besar walapun tanpa melipat mana-mana tempat duduk.
Ciri-ciri menarik lain seperti sistem audio Bose, sistem infotainment berukuran 12.3 inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Kia Carnival ini turut menawarkan ciri-ciri seperti pintu gelongsor pintar dan pintu but tutup sendiri apabila pemegang kunci beredar.
Rekaan pada bahagian luar tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan varian lain Kia Carnival.
Model ini menggunakan enjin 2.2 liter turbo diesel dan transmisi lapan kelajuan automatik dengan E-Shift.
Kuasa maksimum yang dihasilkan daripada kombinasi itu ialah 199hp dan tork tertinggi mencapai 440Nm.
Sekadar makluman, model ini menggunakan tangki diesel bersaiz 72 liter.
Sepanjang pandu uji, penulis hanya menggunakan 3/4 diesel sahaja dengan jarak perjalanan 647.2 kilometer (km) dan info di paparan masih boleh bergerak 271km lagi.
Antara ciri keselamatan ditawarkan lalah High Beam Assist (HBA), Blind-Spot Collision Warning (BCW, Blind Spot Collison- Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA) dan Lane KeepingAssist (LKA).














