fbpx
RAPIAH menunjukkan lampu solar yang digunakan bagi menerangi rumah penduduk di Kampung Sungai Bayu Dalam, Gua Musang.

Tiang elektrik hanya hiasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Sebahagian besar penduduk Kampung Sungai Bayu Dalam di sini membelanjakan RM900 sebulan hanya untuk membeli petrol bagi menghidupkan generator ekoran tidak menerima bekalan elektrik sejak 14 tahun lalu.

Selain generator, 14 keluarga di situ juga bergantung kepada tenaga solar.

Che Adam Che Kob, 67, berkata, mereka masih tidak mendapat kemudahan itu meskipun tiang elektrik telah dipacak di sepanjang jalan ke kampung.

“Kami belanja antara RM600 hingga RM900 sebulan hanya untuk petrol bagi menghidupkan generator.

“Sebelum ini penduduk bergantung kepada pelita sebelum beralih kepada generator atau lampu solar sejak membuka kebun kelapa sawit pada 2010,” katanya ketika ditemui.

Menurut Che Adam, mereka akan menghidupkan generator dan lampu solar selama 12 jam bermula pukul 6 petang bagi menghalang pencerobohan gajah dan babi hutan.

Bagi Rapiah Ismail, 63, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan dia tidak dapat membeli peralatan elektrik untuk digunakan di rumahnya.

Katanya, rumahnya tidak dapat menggunakan periuk nasi elektrik dan terpaksa menggunakan dapur gas.

“Saya berharap Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat membantu keluarga saya dan penduduk lain dengan menyalurkan bekalan ke rumah,” katanya.
Khairudin Che Ibrahim, 41, dia telah membuat dua kali permohonan kepada TNB sebelum ini.

“Bila cuaca mendung lampu solar tidak dapat dicas dan terpaksa bergelap pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim mengakui mendapat aduan daripada penduduk dan akan merujuk masalah itu kepada kementerian berkaitan.

“Kita dapati tiang elektrik telah ada di kawasan tersebut, tetapi penduduk masih tidak dapat menikmati bekalan elektrik daripada TNB.

“Saya berpendapat mungkin terdapat beberapa masalah untuk diselesaikan, tetapi saya yakin isu yang membelenggu sebahagian daripada 14 keluarga di kampung ini mendapat perhatian pihak berwajib,” katanya ketika dihubungi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN