PADANG BESAR – Rata-rata penduduk percaya ketukan misteri yang mengganggu mereka di Kampung Lubuk Machang pada Jumaat dan Sabtu lalu lebih menyasarkan golongan wanita.
Menurut seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Azman, 44, mangsa gangguan tersebut kebanyakannya adalah wanita dan hanya seorang isi rumah yang mendengar ketukan kuat.
“Apa yang pelik adalah hanya seorang individu lebih-lebih lagi wanita di dalam satu rumah mendengar ketukan kuat dan keras seperti orang menendang atau menumbuk pintu. Sedangkan dalam rumah itu ada lagi orang lain yang belum tidur,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Dia diganggu dengan ketukan kuat kira-kira pukul 2 pagi Sabtu lalu dan lebih menimbulkan persoalan apabila tiada sebarang petanda seperti kesan tapak kaki, bunyi daun dipijak dan tanda-tanda lain.
“Yang ada hanya bunyi ayam berkokok. Adik perempuan saya turut diganggu dengan ketukan kuat. Namun ketika dia menyelak langsir, tiada apa-apa di luar rumah.
“Keadaan di luar rumah diterangi lampu selain lampu jalan berdekatan. Jika dikatakan haiwan atau manusia, kita pasti mendengar pergerakan ia melarikan diri dalam hening pagi sama ada bunyi daun kering atau derap langkah,” jelasnya.
Katanya, situasi itu menjadi perbualan penduduk kerana dikatakan hampir 70 peratus daripada kira-kira 70 buah rumah menjadi mangsa gangguan.
“Ada penduduk kampung telah membuat aduan polis. Saya juga mendengar khabar ada rondaan pada sebelah malam melibatkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan polis di kampung kami,” ujarnya.

Seorang penduduk Kampung Baru Lubuk Machang di Chuping, Fatin Adilla Rosli, 31, dia terdengar bunyi itu di rumahnya kira-kira pukul 2.30 pagi, Jumaat lalu.
“Ia berlaku ketika saya pulang ke rumah selepas bertemu rakan dan sedang berehat bersama ibu di ruang tamu, tiba-tiba saya terdengar ketukan kuat dari arah tingkap bilik sebanyak dua kali.
“Saya berasa takut dan enggan ambil risiko lalu membiarkan saja ketukan itu. Ia berlaku tidak lama, hanya dua minit,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohammad Zalghafari Mohd. Zainuddin, 25, mendakwa, gangguan itu berlaku di rumah keluarganya kira-kira pukul 2.45 pagi.
“Saya terdengar ketukan kuat sebanyak tiga kali di tingkap bilik dan menyelak langsir, namun tiada siapa di luar rumah,” ujarnya.
Kosmo! pada 11 Januari lalu melaporkan, penduduk di Kuala Pilah, Negeri Sembilan diganggu dengan ketukan misteri pada waktu malam sehingga awal pagi. -KOSMO! ONLINE














