fbpx
Penduduk di Kampung Serian, Gua Musang bergotong-royong menimbus jalan runtuh bagi membolehkan kenderaan melalui jalan berkenaan baru-baru ini. – AIMUNI TUAN LAH

‘Kami gadai nyawa guna jalan rosak 10 tahun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk di Kampung Serian di sini, berdepan risiko terlibat kemalangan dan kenderaan rosak apabila perlu melalui jalan utama yang kerap rosak sejak 10 tahun lalu.

Lebih membimbangkan apabila jalan yang menghubungkan Kampung Limau Kasturi ke Kampung Serian itu semakin kritikal selepas musim Monsun Timur Laut (MTL) apabila banyak jalan berlubang, runtuh dan mendap.

Seorang penduduk, Muhamad Rofi Ismail, 56, berkata, terdapat kira-kira lima permukaan jalan berlubang besar yang dikhuatiri boleh menyebabkan kenderaan penduduk jatuh ke dalam cerun.

Katanya, kelewatan tindakan pihak bertanggungjawab menyelenggara jalan sepanjang enam kilometer itu menyebabkan penduduk mengambil ini­siatif dengan mengeluarkan duit sendiri untuk menimbus permukaan jalan yang berlubang.

“Jalan sememangnya rosak teruk dan kami pernah terpe­rangkap di kampung ini selama seminggu kerana tidak dapat keluar akibat jalan mendap.

“Kami terpaksa membaiki sendiri jalan pada bulan lalu ke­rana ingin membawa seorang warga emas yang sakit ke hospital,” katanya ketika ditemui di Kampung Serian di sini kelmarin.

Muhammad Faisal Yaakob, 32, pula berkata, urusan harian penduduk kampung juga sering terganggu terutama untuk ke kampung bersebelahan.

“Ada anak perantau tidak mahu pulang ke kampung semasa hari raya kerana jalan sangat teruk.

“Keadaan jalan yang rosak dan mendap menyebabkan penduduk susah untuk keluar membeli keperluan harian. Kenderaan penjaja sayur dan ikan juga tidak dapat masuk sehingga bekalan makanan di sini kerap terputus,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azizi Abu Naim ketika melakukan lawatan dan me­ninjau keadaan jalan mengakui masalah itu kini dalam perhatian pihak berwajib.

“Saya telah mohon peruntukan segera kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang bagi membaiki kerosakan serius sebelum kaedah jajaran jalan baharu yang selamat dibuat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN