Gelagat seorang penjual pelam potong ketika tinjauan Kosmo! di Seberang Perai baru-baru ini.

Kami bukan ‘pengemis’ di lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penjual-penjual pelam potong di persimpangan lampu isyarat menegaskan mereka bukan pengemis di lampu isyarat yang menagih simpati ramai supaya membeli buah yang dijual, sebaliknya cuma mencari rezeki.

Dengan menjual pelam potong kepada pengguna jalan raya ketika lampu isyarat bertukar merah, mereka mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM4,000 sebulan tanpa terikat dengan mana-mana majikan.

Di George Town, ada penjual pelam potong di persimpangan lampu isyarat sanggup berhenti kerja untuk mencari rezeki de­ngan menjual buah tersebut walau­pun terpaksa berpanas terik serta ditimpa hujan.

Tinjauan Kosmo! baru-baru ini mendapati, beberapa penjual yang ditemui terdiri daripada pelbagai peringkat umur ter­ma­suk lepasan sekolah menengah dan bekas operator kilang.

Seorang pemuda yang mahu dikenali sebagai Omar, 43, ber­kata, dia memilih untuk menjual buah di tepi jalan di negeri ini kerana pekerjaan itu tidak terikat dengan masa berbanding bekerja secara syif di sebuah kilang sebelum ini.

Katanya, dia sanggup ber­ulang-alik dari Batu Kurau di Perak ke Pulau Pinang setiap hari bagi mencari sesuap nasi.

“Saya berhenti kerja kilang semata-mata nak jual pelam potong. Ini merupakan perniagaan saudara-mara sejak enam tahun lalu.

“Sikit pun tidak simpan pera­saan malu walaupun pekerjaan ini perlu berjalan sepanjang jalan dekat lampu isyarat sambil memegang bungkusan pelam yang dijual RM10 sebekas dan gantung banner pada leher.

“Ini juga kerja halal, tidak stres dan dapat lihat ragam orang. Ada yang pandang kami seperti pengemis jalanan, nampak kami datang dekat terus naikkan cermin tingkap kereta,” katanya.

Seorang lagi pemuda yang dikenali sebagai Din, 36, memberitahu, dia membuat keputusan berhenti bekerja di sebuah pasar raya di Perak dua tahun lalu kerana mahu menjual pelam potong di Seberang Perai.

“Sebelum ini, memang ramai rakan kampung berniaga buah yang sama, tetapi hari ini sebahagian besar mereka sudah me­lanjutkan pengajian ke universiti,” ujarnya.

Di Kuala Lumpur, seorang penjual pelam potong yang dikenali sebagai Wahab, 35, berkata, kerja menjaja buah potong yang diusahakannya sejak dua tahun lalu ternyata membuahkan hasil.

Katanya, buah potong yang dijual setiap hari adalah produk siap yang perlu diambil daripada beberapa pembekal antaranya di Pelabuhan Klang dan Selayang.

Ujarnya, produk buah potong yang dijualnya itu telah dilabelkan semula dengan menggunakan jenama­nya.

“Saya jual buah ini dapat untung, bukan komisen, ada pembahagian yang dipersetujui antara saya dengan pembekal. Contoh­nya harga satu bekas RM10, maka saya akan dapat RM6, manakala pembekal buah pula RM4.

“Setiap hari saya akan berdiri di kawasan lampu isyarat yang ramai orang berhenti, angkat buah, kemudian jual. Jika habis satu kotak yang ada 20 hingga 30 bekas setiap hari, jadi pendapatan saya boleh mence­cah RM4,000 sebulan.

“Bagaimanapun, ia turut bergantung kepada keadaan cuaca. Kalau hujan, jualan sedikit. Saya mula menjual pukul 11 pagi sehingga jualan habis,” katanya ketika ditemui di simpang lampu isyarat di Lembah Pantai.

Seorang lagi penjual yang dikenali sebagai Zuli, 39, berkata, dia menyedari pihak berkuasa sememangnya melarang jualan pelam potong di simpang lampu isyarat kerana dikhuatiri berlaku kemalangan.

“Bagaimanapun, kami akan lebih berhati-hati ketika menjual buah di tengah jalan raya.

“Kami juga tidak memaksa pengguna supaya membeli buah. Kami sekadar berjalan di celah-celah kereta dan akan mendekati mereka yang mahu membeli pelam potong,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN