KUALA PILAH – Misteri gangguan ketuk-ketuk di pintu rumah sehingga mencetuskan ketakutan dalam kalangan penduduk Kampung Kepis di sini semakin berakhir apabila tiada lagi bunyi bising pada waktu malam seperti yang berlaku sejak awal minggu ini.
Gangguan yang disyaki akibat perbuatan orang minyak ataupun makhluk ghaib itu tidak lagi berlaku selepas rumah-rumah penduduk ‘dipagar’ hasil usaha seorang ustaz.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kepis, Mohmmad Sah Sulaiman, 44, berkata, usaha seorang ustaz yang mempunyai kemampuan untuk memagar rumah pada petang kelmarin itu dilihat berhasil apabila tiada lagi gangguan berlaku di kampung berkenaan.
Katanya, tidak seperti malam-malam sebelumnya, terdapat rumah penduduk yang menerima ketukan misteri, malah beberapa individu turut mendakwa melihat kelibat lembaga hitam.
“Namun, malam semalam, ada sebuah rumah yang belum dipagar menerima ketukan misteri sekitar pukul 11 malam. Bila tuan rumah buka pintu tiada sesiapa di luar rumah.
“Selepas itu sampai ke pagi tiada sebarang kejadian pelik berlaku. Saya harap agar gangguan ini akan dapat berakhir dan penduduk akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula,” katanya.
Bagi Pengerusi JPKK Kampung Kepis Ulu, S. Afendi Baharuddin, dia juga berasa lega apabila hanya terdapat satu kes ketukan misteri kelmarin berbanding 12 rumah sebelum ini.
“Macam-macam kaedah yang kami usahakan dan harap misteri ini akan berakhir,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Darussyifa’ Negeri Sembilan, Ustaz Abdul Ghani Ahmad Zaighu berkata, ikthiar memagar rumah daripada makhluk halus dan mistik termasuk orang minyak mampu menghindar gangguan serta melindungi keluarga.
“Insya-Allah usaha ini boleh jadi benteng rumah dari gangguan mistik termasuk orang minyak.
“Ini kerana kita merujuk kepada ayat-ayat al-Quran dan daripada hadis nabi dan doa-doa memang boleh mengatasi gangguan tersebut.
“Pagar ini boleh membenteng, dan mendinding diri kita, keluarga dan rumah orang kampung dan kampung itu sendiri supaya terhindar dari sebarang gangguan halus,” katanya.
















