KUALA PILAH – Ketukan misteri yang ‘menyerang’ beberapa rumah di daerah ini pada waktu malam hingga awal pagi sejak 10 hari lalu semakin menjadi-jadi apabila ia merebak ke taman perumahan hingga mengundang rasa takut penduduk.
Lebih menyeramkan apabila ada penduduk yang mendengar bunyi mendengus dan kelibat orang berjalan dari dalam semak berhampiran rumah pada tengah malam.
Jika sebelum ini gangguan berlaku di Kampung Kepis Ulu dan Hilir, ia kini sudah merebak ke dua buah rumah di Taman Rasa Sayang, Selaru. Jarak antara dua lokasi itu kira-kira 10 kilometer.
Seorang penduduk, Zariana Azmi, 39, berkata, dia terdengar bunyi ketukan misteri pada pukul 12 tengah malam ketika berada bersama anak keduanya yang berusia 15 tahun.
Katanya, bunyi ketukan itu turut didengari pada minggu lalu, namun dia memujuk perasaan mengatakan ia hanya disebabkan angin.
“Bagaimanapun, kejadian terbaharu malam tadi (semalam) memang menyeramkan kerana bunyi ketukan di pintu dapur agak lama juga.
“Ketukan berkali-kali sebelum senyap. Tidak lama kemudian dia ketuk lagi sampai 20 minit. Jika ada orang sudah tentu kucing di belakang itu bising,” katanya ketika ditemui.
Menurut Zariana, kediaman abangnya yang terletak selang tiga buah rumah turut menerima ketukan misteri tersebut.
Tambahnya, selain ketukan, pintu jeriji dan tombol pintu turut digoyang dan bergegar dengan kuat.
“Saya takut dan pastikan rumah dikunci. Mula-mula rumah di Kepis Ulu dan Hilir, sekarang ketukan misteri merebak ke sini pula.
“Mujurlah suami saya, Norhisham Arifin, 39, hanya bekerja pada waktu siang sahaja dan bukannya shif malam,” katanya.
Ujar Zariana, dia berharap ada pihak yang sudi menyelesaikan masalah itu kerana ia sangat mengganggu tidur malam mereka.
“Sebelum ini saya ada dengar terdapat kes serupa di sebuah sekolah berasrama di sini dan diselesaikan oleh seorang ustaz yang dapat membuangnya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Kepis Ulu, S. Afendi Baharuddin berkata, kemuncak serangan ketukan misteri itu ialah pada malam semalam melibatkan 12 buah rumah.
“Empat buah rumah di Kepis Baru menjadi mangsa terbaharu. Malam tadi (semalam), saya dan beberapa orang lagi penduduk pergi ke rumah pak imam sebaik terdengar bunyi ketukan tetapi tidak nampak kelibat.
“Gangguan bermula pukul 9.50 malam tetapi tepat 12 tengah malam, kami hanya dengar bunyi mendengus-dengus dan orang berjalan dalam semak. Ketukan berakhir pada pukul 5 pagi,” katanya.
Menurut Afendi, penduduk akan membuat rondaan lagi bersama polis dan Rela untuk menjaga kawasan perumahan.
















