SETIAP manusia pernah merasai kesakitan, kesedihan. Lebih-lebih lagi semakin meningkat usia, perkhabaran kehilangan keluarga, orang terdekat kerap diterima.
Begitulah kehidupan. Orang tua kita satu-satu mula dijemput Ilahi. Nampaknya itulah aturan alam, ketentuan. Cuma cara dijemput itu yang berbeda-beda.
Bahagia orang juga tidak sama. Seorang bapa berasa bahagia apabila berjaya memenuhi tanggungjawab untuk keluarga. Apa yang kurang dicukupkan. Itu bahagia.
Seorang gadis bertemu jodoh dengan lelaki pilihan hati, juga bahagia. Wanita ‘keluar’ daripada bertahun-tahun ikatan perkahwinan yang toksik juga adalah kebahagiaan.
Orang putih kata ‘a blessing in disguise’. Demikian. Pengetahuan kita sebagai manusia ini terbatas.
Kadang-kadang apa yang terlihat baik pada mata kasar kita, tidak semestinya bagus untuk orang lain. Islam mengajarkan umatnya supaya menjaga kata-kata.
Jika tiada benih baik daripada ungkapan kita, maka adalah lebih baik diam.
Biarlah itu menjadi adab kita dengan orang sekeliling dalam bermasyarakat atau berukhwah. Tanggungjawab ini lebih besar pula buat golongan berpengaruh. Tidak kira anda pemimpin politik, ahli agama, artis waima pempengaruh media sosial.
Air beriak tanda tak dalam. Berbicaralah dengan ilmu. Akhir-akhir ini timbul polemik dalam masyarakat. Golongan ramai pengikut tersebut masing-masing berlumba-lumba ingin menonjolkan pendapat.
Contohnya seorang penyanyi muda yang menganggap pergi ke sekolah sebagai membuang masa. Kelmarin, aktor senior pula telah tampil memohon maaf berikutan kewajaran membuka pusat pelacuran khususnya untuk warga asing.
Isu-isu sensitif sebegini jika ‘diusik’ memang akan ‘memancing’ reaksi khalayak. Lebih-lebih lagi jika sebarang isu dimainkan golongan ahli politik.
Seperti yang kita sedia maklum di belakang ahli-ahli politik ini ramai tentera/lasykar siber (cybertrooper).
Mereka ini ‘powerhouse’ baik di medium TikTok, Twitter, Instagram atau Facebook dalam menyebarkan ‘berita-berita’ bertujuan menimbulkan persepsi secara massa. Golongan ini bergerak secara terancang dalam menyebarkan propaganda.
Penulis mempunyai kenalan yang bekerja sebagai ‘pegawai media’ kepada sebuah parti politik. Beliau menjadi perantara antara lasykar siber ini dengan pemimpin parti tersebut.
Modus operandi atau kaedah yang digunakan adalah dengan memasukkan wang puluhan ribu ke dalam akaun persatuan-persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO). Wang yang diisytiharkan sebagai ‘sumbangan’ itu sebenarnya adalah untuk pembayaran kepada lasykar siber tersebut.
Lebih mengeruhkan keadaan apabila pengguna media sosial lain terikut-ikut naratif dibawa pihak tersebut. Satu yang harus diingat kadang-kadang lasykar siber ini dibayar ‘gaji’. Hantaran-hantaran di media sosial itu dibayar setiap batang hurufnya.














