JAGUH muay thai remaja negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib memasang impian tinggi pada tahun 2024 apabila nekad untuk mengatasi juara WBC Eropah, Ellis Barboza di Stadium Lumpinee Boxing, Bangkok pada Februari depan.
Biarpun mengalami kecederaan retak pada tangan kanannya sewaktu menumbangkan petarung dari Iran, Zolfaghari secara ‘knock-out’ di Bangkok pada Oktober lalu, Aliff akui dia kini cergas 100 peratus sekali gus tidak berdepan sebarang masalah berdepan Barboza.
Bagaimanapun, Aliff menegaskan perkara yang merisaukan dirinya ketika ini adalah dia terpaksa meningkatkan berat badannya daripada 54 kilogram (kg) kepada 57kg untuk berdepan Barboza.
“Menjelang perlawanan ONE Fight Night 19 nanti, saya benar-benar bersedia dan saya perlu manfaatkan latihan dalam tempoh kurang dari dua bulan ini.
“Tetapi, perkara yang membimbangkan saya perlu meningkatkan berat badan kepada 57kg. Lagi pun lawan yang saya akan berdepan nanti bukan calang-calang kerana dia juga merupakan juara WBC Eropah dari England.
“Saya perlu berhati-hati dengan segala kemungkinan. Apapun, saya tetap bersemangat untuk mengatasi lawan saya kerana misi saya adalah untuk memburu sebanyak kemenangan pada tahun 2024 ini,” katanya.
Sebagai rekod, Aliff yang bakal menginjak usia 20 tahun menutup musim 2023 dengan kejayaan manis apabila menumbangkan tiga jaguh muay thai dari Thailand iaitu Rittidet Kiatsongrit (April), Ratchadej Sor Petjumrat (Julai) dan Yangdam Jitmuangnon (Ogos) sebelum mengatasi Zolfaghari pada November.
Kejayaan tersebut membolehkan atlet berasal dari Rantau Panjang, Kelantan itu meraih kontrak One Championship bernilai AS$100,000 kira-kira RM463,300 sejurus menampilkan aksi terbaik dengan rekod kemenangan 4-0 tanpa kalah.















