SEDIH dan kecewa. Itulah perasaan penulis setelah melihat sikap buruk segelintir rakyat Malaysia yang masih gemar membuang sampah merata-rata.
Saat masing-masing perbaharui azam dengan cita-cita untuk menjadi insan lebih baik, rupanya kita sebagai masyarakat masih lagi ditakuk yang lama. Tidak berubah dan masih belum sedar.
Tinjauan penulis di Dataran Merdeka ketika sambutan ambang tahun baharu mendapati sampah sarap masih lagi memenuhi kaki lima jalan sedangkan hampir 20 unit tong sampah diletakkan di sekitar kawasan tersebut.
Sebenarnya, apa masalah orang kita? Setuju atau tidak, penulis berpendapat masalah ini berpunca daripada sikap malas dan tidak endah yang tertanam dalam kalangan segelintir masyarakat.
Ramai yang berpendapat, saat sampah tersebut terlepas daripada genggaman, ia bukan lagi milik kita. Tugas mengutipnya, adalah tugas orang lain.
Sedih mengenangkan masyarakat kita masih memiliki mentaliti rakyat kelas ketiga. Tuntasnya, sikap lepas tangan inilah masalah sebenar yang membelenggu rakyat Malaysia.
Presiden Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia, Mohd. Yusaimi Md. Yusof berkata, dari segi kesedaran, rakyat Malaysia rata-ratanya sudah belajar mengenai cara membuang sampah yang betul sejak di bangku sekolah lagi.
“Bagaimanapun dari segi sikap, masih ramai yang tidak menjadikan amalan buang sampah ini sebagai amalan harian. Sudah tiba masanya kita ambil pendekatan lain untuk selesaikan isu ini, salah satunya dengan suntikan agama.
“Sebagai contoh, di Indonesia, ada fatwa yang mengatakan amalan membuang sampah merata-rata adalah satu dosa,” ulasnya.
Tambahnya, masih ramai belum sedar akan impak sebenar pembuangan sampah, terutamanya plastik terhadap alam sekitar.
“Kajian mendapati, plastik ini boleh terurai menjadi mikroplastik dan masuk ke dalam makanan, contohnya dalam perut ikan, garam dalam masakan. Malah, kini mikroplastik juga dikesan ada dalam tubuh manusia.
“Selain itu, amalan membuang sampah secara tidak bertanggungjawab ini juga boleh mendatangkan bencana. Jangan salahkan Tuhan sekiranya banjir berlaku kerana longkang tersumbat.
“Sebenarnya, semua ini berlaku kerana kita gagal menjaga alam dengan sebaiknya,” katanya.
Menurut laporan daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, setiap rakyat Malaysia menghasilkan hampir 1.17 kilogram, bersamaan dengan 30,000 tan sampah setiap hari.
Tahun demi tahun, jumlah sampah pula meningkat seiring dengan pertambahan populasi.
Mengikut unjuran, sekiranya sisa pepejal ini tidak diuruskan dengan baik, Malaysia bakal kehabisan ruang pelupusan sampah pada tahun 2050.
Kebanyakan sampah yang dibuang ini bakal terurai, melepaskan gas rumah hijau yang menyumbang kepada peningkatan suhu global. Bahkan, tahun 2011 hingga 2020 telah dicatatkan sebagai dekad paling panas.
Kini, suhu dunia meningkat pada kadar 0.2 darjah Celsius setiap dekad. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, akan berlakunya bencana global yang amat dahsyat yang sudah pasti mangsanya adalah diri kita sendiri.
Mungkin kita perlu tunggu kiamat baru hendak berhenti buang sampah. Begitulah orang kita, sudah terhantuk baru tengadah.














